Pengecas Telefon Bimbit Tanpa Soket?

Masalah mendapatkan pengecas telefon bimbit terutama ketika saat genting mungkin boleh diatasi dengan menggunakan pengecas telefon bimbit mudah alih jenama Zelite keluaran syarikat bumiputera, Accuwest Sdn Bhd. Pengecas telefon bimbit mudah alih itu atau Z2100 bukan saja boleh digunakan di mana-mana, malah mampu bertahan sehingga lapan jam. Semua orang mempunyai produk teknologi yang menggunakan kuasa bateri, namun ia akan menjadi masalah jika tidak dapat dicaj hanya kerana tidak menjumpai soket dinding.
Dengan menggunakan produk ini, telefon bimbit boleh dicaj di mana-mana tanpa sebarang masalah kerana ia turut dilengkapi dengan penyambung telefon bimbit yang bersesuaian. Syarikat tersebut telah melakukan kajian selama dua tahun untuk menghasilkan produk itu dan mengetengahkan konsep teknologi serta gaya dalam menampilkannya. Ia dihasilkan dengan warna dan gaya menarik supaya pengguna berasa berbaloi membelanjakan wang untuk membelinya. Malah, ia adalah yang pertama menggabungkan teknologi dan gaya dalam satu produk.
Produk itu diperbuat daripada lithium polimer yang tidak akan meletup pada suhu ekstrem dan menggunakan konsep teknologi hijau. Produk ini juga direka dan diakui berkualiti kerana sudah dipasarkan di Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK) serta mendapat sambutan menggalakkan. Mereka yang berminat menjadi ejen pemasaran atau mendapat maklumat lanjut boleh atau layari zelite.net.
– MM

Tidak Fasih Berbahasa Inggeris, Peluang Dapatkan Pekerjaan Tipis?

Sejak dilaksanakan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik (PPSMI), pada tahun 2003, terdapat segelintir pihak meluahkan rasa tidak puas hati. Malah, ada yang menyarankan supaya ia diberhentikan segera. Mereka berharap supaya murid sekolah rendah dan pelajar menengah kembali menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Kebanyakan kelompok pejuang bangsa dan budaya beranggapan dengan berlangsungnya sesi pembelajaran PPSMI dalam bahasa Inggeris, ia mampu membunuh bahasa ibunda kita iaitu bahasa Melayu. Tidak kurang juga yang mencanangkan dengan terlaksananya sistem ini maka generasi muda terutamanya pelajar sekolah akan melupakan bahasa Melayu dan terus-menerus mengagung-agungkan bahasa Inggeris. 

Seharusnya pendedahan bahasa Inggeris perlu dimulakan sejak tadika lagi. Ia sebagai persediaan kepada pelajar sebelum melangkah ke sekolah rendah supaya mereka tidak termangu-mangu apabila mempelajari subjek yang menggunakan bahasa Inggeris. Apabila inisiatif ini diteruskan maka prestasi dan proses pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dapat dikekalkan sehingga ke sekolah menengah dan peringkat universiti. Lagipun di universiti tempatan atau antarabangsa, kebanyakan buku penyelidikan dan jurnal ditulis di dalam bahasa Inggeris. Bagi individu yang merasakan sistem ini membunuh bahasa Melayu, hakikatnya mungkin ada baik dan buruknya apabila kita menggunakan bahasa Inggeris. Bagi para pelajar di bandar, mereka mungkin tidak menghadapi masalah kerana sudah banyak pendedahan yang diperoleh. Tetapi, bagi pelajar di luar bandar yang sentiasa menggunakan bahasa Melayu, mereka mungkin berasa berat untuk menerimanya.

Namun begitu, jangan pula masalah ini dijadikan alasan untuk kita memberhentikan PPSMI. Mungkin ia dapat diatasi sekiranya pihak Kementerian Pelajaran menghantar kumpulan guru terbaik dan profesional di sekolah luar bandar dan pedalaman. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad menyarankan supaya pelajar tidak menganggap penggunaan bahasa Inggeris sebagai beban. Sebaliknya, beliau menyarankan supaya ia diterima dengan gembira kerana ia merupakan jalan kepada ilmu-ilmu yang lain. Apa yang dilakukan oleh kementerian bukan untuk menyusahkan tetapi untuk memudahkan pelajar apabila meningkat dewasa kelak. Tidak bermakna mempelajari bahasa Inggeris maka kita memperlekehkan bahasa Melayu. Hakikatnya, kita tidak mampu untuk memperoleh ilmu baru memandangkan banyak koleksi buku, kertas penyelidikan dan jurnal ditulis di dalam bahasa Inggeris. Bayangkan bagaimana kita ingin memahami dan membaca jurnal bahasa Inggeris, sedangkan kita tidak boleh berbahasa Inggeris. Tidakkah ini merugikan diri dan negara? Cuba fikirkan, alangkah baiknya sekiranya kita fasih dan memahami bahasa Inggeris. Dengannya, kita berpeluang membelek buku yang menawarkan pelbagai bahan.
Bukan itu sahaja, apabila masyarakat mampu menguasai dua bahasa (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris), mungkin kita dapat menjadi penterjemah. Impaknya, banyak buku dan jurnal penyelidikan Sains dan sebagainya dapat dialih ke bahasa Melayu. Beliau turut berkata, orang Melayu tidak akan berkurangan apabila mempelajari Matematik atau Sains di dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya, ia dapat melahirkan kaum Melayu Malaysia yang berpengetahuan. Selain itu, Tun Mahathir turut meluahkan pendapat iaitu jika seseorang tidak fasih berbahasa Inggeris maka peluangnya untuk mendapatkan pekerjaan adalah tipis. Lagipun kerajaan Malaysia sememangnya memerlukan rakyat yang bijak dalam bahasa Inggeris. Masyarakat luar (antarabangsa pasti tidak mahu menjalin kerjasama kerana mereka tidak memahami bahasa Melayu.
– BHO

Tahukah Anda Gaji Wajib Dizakat?

Ramai orang tahu zakat adalah wajib, namun ramai juga yang kurang mengetahui bahawa zakat yang dimaksudkan tidak terhad kepada zakat fitrah saja sebaliknya ia turut meliputi pendapatan yang diperoleh setiap bulan. Sama ada pendapatan individu atau syarikat perniagaan, jumlah disumbangkan dapat membantu golongan memerlukan, malah dengan berzakat ia menambah keberkatan hidup kita.

Bagaimana tahap kesedaran orang ramai terhadap amalan membayar zakat?
Jika dibandingkan dengan 10 tahun lalu, orang ramai semakin sedar mengenai kepentingan membayar zakat dan jumlahnya semakin bertambah sepanjang tahun. Namun, jumlah pembayar zakat belum mencapai tahap 100 peratus di mana ada segelintir individu yang layak membayar zakat, tetapi gagal berbuat demikian atau mungkin tidak tahu bahawa pendapatan yang mereka peroleh wajib dikenakan zakat. Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana banyak saluran pembayaran sudah disediakan bagi memudahkan pembayar melaksanakan tanggungjawab mereka termasuk melalui potongan gaji, pembayaran secara dalam talian atau melalui kaunter PPZ (Pusat Pungutan Zakat). Melalui perangkaan PPZ, jumlah pembayar zakat untuk tahun lalu adalah seramai 93,225 orang namun kebiasaannya hanya 90 peratus saja tampil melaksanakan tanggungjawab mereka.
Bagaimana untuk mengetahui sama ada pendapatan dimiliki itu wajib dikenakan zakat kerana mungkin ada individu berpendapatan kecil dan banyak tanggungan berpendapat mereka tidak perlu membayar zakat pendapatan?

Perkara utama yang harus dilakukan adalah membuat pengiraan untuk menentukan sama ada pendapatan dimiliki itu layak atau tidak perlu dikenakan zakat. Pengiraan yang dikenakan agak mudah, malah PPZ menyediakan pelbagai saluran untuk membantu orang ramai membuat pengiraan sendiri. Mereka juga boleh mengunjungi PPZ untuk membuat pengiraan dengan bantuan kakitangan atau melayari laman web PPZ yang mana turut menyediakan panduan pengiraan. Sekiranya seseorang individu mempunyai banyak tanggungan, pengiraan turut membabitkan jumlah tanggungan dan ia akan ditolak daripada jumlah pendapatan tahunan. Tanggungan yang dimaksudkan termasuk ibu bapa, anak-anak serta isteri. Malah, beberapa perbelanjaan juga akan ditolak daripada pendapatan tahunan individu termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Selepas membuat pengiraan, mungkin ada pendapatan individu yang tidak diwajibkan zakat, namun adalah digalakkan untuk membuat potongan gaji walaupun serendah RM10 kerana sekurang-kurangnya ia dapat membantu kerajaan membasmi kemiskinan dan pada masa sama menyucikan pendapatan kita.

Setiap tahun, jumlah pembayar zakat tidak mencapai jumlah 100 peratus dan ini bermakna masih ada yang enggan berbuat demikian. Apakah tidak ada tindakan boleh diambil untuk memastikan mereka melunaskan bayaran?
Setakat ini tidak ada akta khusus untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang gagal membayar zakat, malah PPZ menggunakan kaedah mendidik bagi memastikan jumlah pembayar zakat meningkat setiap tahun. Walaupun tidak ada akta untuk menghukum, namun kerajaan menyediakan pelbagai insentif untuk pembayar zakat antaranya rebat cukai pendapatan individu serta rebat sebanyak 2.05 peratus untuk syarikat yang membayar zakat perniagaan. Ia secara tidak langsung dapat menggalakkan pembayar zakat menjalankan tanggungjawab mereka. Malah, untuk tempoh jangka panjang, PPZ juga merancang menjadikan zakat sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran serta memberi pendedahan awal kepada bakal pembayar termasuk pelajar universiti yang bakal menjengah alam pekerjaan atau perniagaan untuk melaksanakan peranan mereka.
Apa harapan terhadap orang ramai yang mungkin masih keliru dan tidak tahu mengenai pembayaran zakat pendapatan dan perniagaan?
Zakat adalah satu daripada rukun Islam dan zakat adalah proses pemulangan hak orang lain dalam harta kita. Dengan berzakat ia dapat membersihkan diri daripada bersifat bakhil. Tidak timbul isu kita jatuh miskin sekiranya mengeluarkan sedikit duit untuk membayar zakat kerana Allah menjanjikan pulangan 700 kali ganda daripada jumlah dikeluarkan. Dengan pelbagai kemudahan, tidak ada alasan untuk kita tidak membayar zakat. Ahli lembaga syarikat juga perlu memainkan peranan menyemak akaun syarikat sama ada wajib zakat atau tidak kerana ia akan dipersoalkan di akhirat.

Renungan:

Layari laman web Pusat Pungutan Zakat untuk pelbagai maklumat berkenaan zakat.

– MM

Mari Beli Mi Segera, Sardin Jenama Rizza Brand

Menyedari produk makanan segera mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pengguna, Bio Haruantech (M) Sdn Bhd telah memperkenalkan rangkaian produk mi segera dan makanan dalam tin menggunakan jenama Rizza Brand. Pengarah Urusannya, Mohammad Munir Lukman Hakim berkata, istimewanya produk diperkenalkan syarikatnya adalah tidak mengandungi bahan pengawet atau perasa tiruan sebagaimana produk yang ada di pasaran. Produk yang diketengahkan menggunakan 100 peratus bahan dan perasa asli menjadikan rasa dihasilkan agak berbeza dengan produk mi segera yang ada di pasaran.
Produk yang terdapat di bawah jenama ini adalah laksa utara, bihun sup segera, mi udang segera dan kuah laksa segera. Selain itu, Rizza Brand turut menghasilkan makanan dalam tin iaitu sardin, sambal tumis ikan keli dan gulai ikan tongkol. Produk mi segera yang dihasilkan menggunakan perencah asli dan bahan utama yang segar serta tidak dicampur dengan bahan pengawet atau perasa tambahan. Haruantech tidak mahu produknya sama seperti produk mi segera yang ada di pasaran kerana kebanyakannya memberi kesan kurang baik terhadap kesihatan pengguna dalam tempoh jangka panjang. Maka, mereka menghasilkan produk mi segera yang selamat dimakan kerana bahan yang digunakan adalah segar dan asli seperti daging ikan dan perencah yang diproses menjadi serbuk.
Produk makanan dalam tin diperkenalkan juga menggunakan resipi berbeza kerana setakat ini tidak terdapat jenama lain yang mengetengahkan produk sama. Sebagai contoh, produk sambal tumis ikan keli dan gulai ikan tongkol yang hanya boleh didapati daripada jenama Rizza Brand. Malah, produk sardin yang dihasilkan juga lebih istimewa kerana ia sedia dimakan berikutan kuah yang disertakan dalam tin sudah siap ditumis.
– MM

Tip Pembungkusan Untuk Usahawan Bumiputera

Isu pembungkusan kurang menarik punca produk Bumiputera sukar dipasarkan ke luar negara, tidak sepatutnya dipandang remeh kerana semua usahawan seharusnya menekankan aspek pembungkusan produk untuk persaingan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Ramai usahawan masih tidak tahu teknik pembungkusan yang mampu memberi impak terbaik.
Sejauh manakah keberkesanan teknik pembungkusan dan pelabelan dapat membantu produk usahawan untuk dipasarkan?
Secara umumnya produk usahawan terutama Bumiputera berkualiti, namun pembungkusan belum mencapai mutu dikehendaki. Teknik pembungkusan dan pelabelan makanan memainkan peranan sangat penting dalam pengeluaran produk makanan. Paling penting, usahawan perlu mematuhi Akta Makanan 1983 kerana dengan adanya pengetahuan mengenai akta itu, ia boleh membawa produk mereka pergi sehingga peringkat antarabangsa berikutan semua yang termaktub di dalam akta berkenaan menepati kehendak pasaran tempatan dan global.
Apakah langkah pertama yang perlu diambil usahawan jika mereka ingin mengeluarkan produk berasaskan makanan?
Kita lihat ramai usahawan Bumiputera terbabit dalam sektor berasaskan makanan, namun perkara utama adalah mempunyai asas perniagaan dan mengambil tahu mengenai aspek perundangan berkaitan. Dengan adanya pengetahuan ini, usahawan dapat menghasilkan produk bermutu dan menepati standard diperlukan, sekali gus membolehkan mereka bersaing di semua peringkat pasaran. Malah Akta Makanan 1983 mempunyai banyak maklumat yang perlu diketahui, terutama mengenai penggunaan pengawet, penstabil, pembungkusan, pelabelan, pengendalian makanan dan banyak lagi.
Bagaimana untuk memastikan usahawan mencapai tahap terbaik dalam pembungkusan, pelabelan serta pengendalian makanan?
Usahawan harus peka dengan perubahan yang sentiasa berlaku dan perlu banyak bertanya tanpa rasa malu dan bimbang. Mereka juga dinasihat mengikuti seminar, kursus dan bengkel anjuran kerajaan atau swasta. Selain itu, usahawan perlu mengikuti sebanyak mungkin kursus berkaitan perniagaan makanan seperti kursus pembuatan makanan yang betul, teknik pembungkusan dan pelabelan, pengendalian makanan, kewangan, pemasaran dan kursus yang boleh membantu usahawan berjaya dalam industri makanan. Produk yang dihasilkan usahawan Bumiputera berkualiti, tetapi perlu dibaiki dari segi teknik pengeluaran, pembungkusan dan pelabelan. Masih ramai tidak mengetahui kewujudan Akta Makanan 1983 dan tidak tahu pihak mana perlu dihubungi jika ada masalah. Jika usahawan mempunyai kemusykilan, mereka boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di Kementerian Kesihatan Malaysia atau layari http://www.insken.gov.my untuk maklumat kursus yang diadakan bagi membantu usahawan tempatan.
Bagaimana teknik pembungkusan, pelabelan dan pengendalian makanan yang betul secara amnya?
Teknik pembungkusan yang betul boleh memanjangkan jangka hayat produk. Teknik pelabelan perlu mempunyai semua maklumat diperlukan termasuk nama sebenar makanan, ramuan, alamat, berat bersih, tanda halal, tarikh tamat, fakta nutrisi dan kod bar. Seterusnya, semua pengendali makanan diwajib mengikuti kursus asas pengendali makanan meliputi antaranya, penyakit bawaan air dan keracunan makanan.
– MM