Bunyi berdesing dalam telinga

Bunyi berdesing di dalam telinga dikenali sebagai tinnitus. Bunyi itu boleh terdiri dari bunyi berdering, berdesing, berdengung, bunyi serangga dan pelbagai yang lain. Punca bunyi ini lazimnya disebabkan oleh kerosakan deria pendengaran ataupun disebabkan oleh patologi di telinga tengah, telinga dalam mahupun di bahagian otak yang tertentu. Deria pendengaran boleh mengalami kerosakan disebabkan oleh beberapa perkara seperti selesema virus, beguk dan penyakit virus yang lain.
Bekerja di tempat yang sentiasa berbunyi kuat seperti kedai percetakan, kedai industri logam, kedai mekanik dan sebagainya juga boleh menyebabkan trauma bunyi atau trauma akustik ke atas telinga yang terlibat. Usia juga memainkan faktor utama menyebabkan deria pendengaran menjadi kurang peka dan proses ini boleh menjadi lebih serius jika ditambah dengan trauma bunyi.
Memandangkan ramai orang sentiasa mendengar muzik dengan nada yang kuat lebih dari sepuluh jam sehari, ia sama seperti bekerja di tempat yang bising malah lebih teruk lagi. Ini kerana, selalunya waktu bekerja di tempat-tempat ini dihadkan untuk tidak lebih dari lima hingga enam jam dan para pekerja patut memakai alat pelindung telinga ketika bekerja. Ini boleh membawa trauma atau kecederaan kepada telinga dalam dan saraf pendengaran yang boleh merosakkannya, justeru itu boleh mendatangkan bunyi berdesing yang dialami.
Masalah ini akan menjadi lebih teruk jika terus mendengar muzik dengan nada yang kuat melalui fon telinga. Adalah disarankan berhenti mendengar muzik dengan nada yang kuat melalui fon telinga. Anda juga perlu berjumpa dengan seorang pakar ENT untuk pemeriksaan pendengaran dan juga pemeriksaan selanjutnya untuk memastikan bunyi tinnitus yang dialami ini tidak disebabkan oleh gejala-gejala lain yang tidak diingini.
– UMO

Hantaran Sepadan Kos Belanja Kahwin

Hal perkahwinan atau ‘membina masjid’ merupakan satu kewajipan bagi pasangan yang berkemampuan dari segi rohani dan jasmani. Tetapi pernahkan terfikir, selama ini khususnya ibu bapa dan juga pasangan yang ingin berkahwin kini beranggapan perkahwinan bukanlah satu perkara yang mudah malah ia sesuatu yang menyusahkan. Ini kerana senario wang hantaran perkahwinan yang dikenakan oleh pihak perempuan sekarang ini pastinya tidak kurang daripada RM5,000. Bayangkanlah perbelanjaan daripada majlis pertunangan, persiapan kenduri dengan pelaminnya, persiapan pasukan kompang dan banyak lagi, mungkin jika dibuat pinjaman, sehingga sudah beranak pinak pun, pinjaman bank masih belum tentu habis dibayar.
Pendek kata, kalau setakat belanja perkahwinan sebanyak RM10,000, ia satu jumlah yang belum cukup sempurna dengan harga pelbagai barangan ketika ini cukup mahal. Tetapi jika dilihat kembali tujuan mengadakan kenduri kahwin ia adalah untuk memberitahu kepada masyarakat bahawa pasangan tersebut telah pun berkahwin seterusnya untuk mengelakkan fitnah. Senario hari ini tidak boleh dibandingkan dengan senario 10 tahun yang lalu. Hal ini kerana, keadaan banyak sudah berubah termasuk harga barangan yang semakin hari semakin naik.
Kita berbicara mengenai hal ini pada zaman milineum di mana sekiranya sesuatu majlis perkahwinan diadakan di bandar-bandar besar, paling minimum pun ia memerlukan sekurang-kurangnya RM15,000 yang merangkumi makanan untuk jemputan seramai 500 orang, kad jemputan, kanopi dan pelamin. Jika hendak dibandingkan dengan kawasan luar bandar, perbelanjaannya mungkin murah sedikit tetapi tidak kurang daripada RM7,000. Kos tersebut sedikit sebanyak disebabkan harga barangan keperluan yang semakin meningkat serta kos hidup yang tinggi. Oleh yang demikian, wang hantaran merupakan satu keperluan semasa yang dilihat mampu meringankan beban untuk mengadakan kenduri kendara.
Tidak dinafikan, wang hantaran yang semakin meningkat tinggi disebabkan trend-trend semasa di mana rata-rata jumlahnya tidak kurang daripada RM5,000. Bagaimanapun, memadai sekiranya wang hantaran yang dikenakan sekitar RM8,000 hingga RM10,000. Ada beberapa pasangan ibu bapa yang berpendapat wang hantaran tinggi pada zaman ini adalah sepadan dengan perbelanjaan serta persedian untuk majlis perkahwinan. Tiada istilah wang hantaran tinggi jika hendak dibandingkan dengan harga barangan yang semakin meningkat hari ini. Tetapi bagaimanapun, ia (wang hantaran) juga haruslah berpada-pada jangan hinggakan ada yang beranggapan ‘menjual anak’. Seelok-eloknya wang hantaran di bawah RM10,000 kerana sekiranya lebih daripada jumlah tersebut pandangan masyarakat mungkin melihat ia seolah-olah kita ‘menjual anak’ (sekiranya sebelah pengantin perempuan). 
Tetapi jika dilihat kembali dengan serba serbi yang semakin meningkat jumlah tersebut dilihat bukanlah satu jumlah yang tinggi, malah ia tidak membebankan kerana hari ini rata-rata ramai yang sudah mempunyai kerjaya yang mantap. Walaupun begitu, hari ini dapat dilihat senario ibu bapa ‘berlumba-lumba’ meletakkan harga wang hantaran anak perempuan mereka seperti menjadi satu trend. Malah tidak dinafikan bahawa isu wang hantaran sering menghantui pasangan sebelum berkahwin terutama kaum lelaki.
Sebaik-baiknya kos perkahwinan perlu sederhana dan mengikut kemampuan seseorang dan perbelanjaan yang ingin dikeluarkan perlu difikirkan dengan baik agar tidak menjadi beban selepas berkahwin. Sekiranya kos perkahwinan tinggi, pihak lelaki dan perempuan boleh berbincang lagi pun pada zaman sekarang semua perkara boleh dibawa berbincang untuk kebaikan bersama. Seseorang lelaki yang hendak mendirikan rumah tangga mesti membuat persiapan dan mula menyimpan duit daripada awal. Wang hantaran sememangnya menjadi tanggungjawab pihak lelaki untuk dipenuhi. Jika dilihat dari sudut kebaikannya, ia umpama persediaan awal seseorang bakal suami untuk menanggung tanggungjawab sebelum memulakan kehidupan berkeluarga. Pastinya usaha mengumpul wang hantaran ini mampu mengajar tanggungjawab sebenar si lelaki sebelum bergelar suami yang bakal menanggung isteri dan bakal anak-anak.
Secara amnya, wang memainkan peranan penting dan berperanan utama dalam setiap urusan kehidupan tidak kira walau di mana kita berada, sama ada duduk di bandar ataupun kampung.

– UMO

Keluarga Mainkan Peranan Banteras Jenayah

Apabila bercerita tentang jenayah pasti yang membayangkan ialah perkara yang membahayakan dan menakutkan. Malah lebih teruk ia melibatkan perkara-perkara yang menentang adat dan budaya termasuklah melanggar undang-undang Islam. Jenayah itu, jika dibiarkan pastinya membawa kemudaratan, sebab itu adalah menjadi satu kepentingan bersama untuk membanteras kegiatan jenayah daripada terus berleluasa.
Keluarga dan masyarakat setempat memainkan peranan penting untuk bersama-sama kerajaan dan pihak polis mencegah kegiatan jenayah seperti sumbang mahram, rogol, seks luar nikah, pembuangan bayi dan lain-lain. Justeru, ahli keluarga perlu prihatin dan mengambil berat atas langkah-langkah pencegahan bagi mengelak ahli keluarga terlibat dengan kegiatan jenayah atau menjadi mangsa akibat kegiatan jenayah.
Antara program yang akan dilaksanakan oleh kerajaan bersama NGO yang terpilih adalah program teras seperti kemahiran keibubapaan, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial dan juga program kesedaran keselamatan keluarga. Melalui program ini, ia bertujuan untuk menggembelingkan ahli keluarga, komuniti dan NGO setempat dalam usaha pencegahan jenayah di kawasan setempat tetapi juga membangun dan memperkukuhkan sistem-sistem sokongan sosial termasuklah yang sedia ada di dalam komuniti.
Dengan ada program seumpama itu, ia bukan sekadar mampu mengeratkan lagi kekeluargaan sesama masyarakat tetapi juga mampu memperkukuhkan lagi hubungan. Malah lebih penting, ia dapat mempertingkatkan kualiti hidup dengan mengekalkan ketenteraman , keselamatan dan kebajikan rakyat selaras dengan kemajuan ekonomi.
– UMO