Tidak Fasih Berbahasa Inggeris, Peluang Dapatkan Pekerjaan Tipis?

Sejak dilaksanakan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik (PPSMI), pada tahun 2003, terdapat segelintir pihak meluahkan rasa tidak puas hati. Malah, ada yang menyarankan supaya ia diberhentikan segera. Mereka berharap supaya murid sekolah rendah dan pelajar menengah kembali menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Kebanyakan kelompok pejuang bangsa dan budaya beranggapan dengan berlangsungnya sesi pembelajaran PPSMI dalam bahasa Inggeris, ia mampu membunuh bahasa ibunda kita iaitu bahasa Melayu. Tidak kurang juga yang mencanangkan dengan terlaksananya sistem ini maka generasi muda terutamanya pelajar sekolah akan melupakan bahasa Melayu dan terus-menerus mengagung-agungkan bahasa Inggeris. 

Seharusnya pendedahan bahasa Inggeris perlu dimulakan sejak tadika lagi. Ia sebagai persediaan kepada pelajar sebelum melangkah ke sekolah rendah supaya mereka tidak termangu-mangu apabila mempelajari subjek yang menggunakan bahasa Inggeris. Apabila inisiatif ini diteruskan maka prestasi dan proses pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dapat dikekalkan sehingga ke sekolah menengah dan peringkat universiti. Lagipun di universiti tempatan atau antarabangsa, kebanyakan buku penyelidikan dan jurnal ditulis di dalam bahasa Inggeris. Bagi individu yang merasakan sistem ini membunuh bahasa Melayu, hakikatnya mungkin ada baik dan buruknya apabila kita menggunakan bahasa Inggeris. Bagi para pelajar di bandar, mereka mungkin tidak menghadapi masalah kerana sudah banyak pendedahan yang diperoleh. Tetapi, bagi pelajar di luar bandar yang sentiasa menggunakan bahasa Melayu, mereka mungkin berasa berat untuk menerimanya.

Namun begitu, jangan pula masalah ini dijadikan alasan untuk kita memberhentikan PPSMI. Mungkin ia dapat diatasi sekiranya pihak Kementerian Pelajaran menghantar kumpulan guru terbaik dan profesional di sekolah luar bandar dan pedalaman. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad menyarankan supaya pelajar tidak menganggap penggunaan bahasa Inggeris sebagai beban. Sebaliknya, beliau menyarankan supaya ia diterima dengan gembira kerana ia merupakan jalan kepada ilmu-ilmu yang lain. Apa yang dilakukan oleh kementerian bukan untuk menyusahkan tetapi untuk memudahkan pelajar apabila meningkat dewasa kelak. Tidak bermakna mempelajari bahasa Inggeris maka kita memperlekehkan bahasa Melayu. Hakikatnya, kita tidak mampu untuk memperoleh ilmu baru memandangkan banyak koleksi buku, kertas penyelidikan dan jurnal ditulis di dalam bahasa Inggeris. Bayangkan bagaimana kita ingin memahami dan membaca jurnal bahasa Inggeris, sedangkan kita tidak boleh berbahasa Inggeris. Tidakkah ini merugikan diri dan negara? Cuba fikirkan, alangkah baiknya sekiranya kita fasih dan memahami bahasa Inggeris. Dengannya, kita berpeluang membelek buku yang menawarkan pelbagai bahan.
Bukan itu sahaja, apabila masyarakat mampu menguasai dua bahasa (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris), mungkin kita dapat menjadi penterjemah. Impaknya, banyak buku dan jurnal penyelidikan Sains dan sebagainya dapat dialih ke bahasa Melayu. Beliau turut berkata, orang Melayu tidak akan berkurangan apabila mempelajari Matematik atau Sains di dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya, ia dapat melahirkan kaum Melayu Malaysia yang berpengetahuan. Selain itu, Tun Mahathir turut meluahkan pendapat iaitu jika seseorang tidak fasih berbahasa Inggeris maka peluangnya untuk mendapatkan pekerjaan adalah tipis. Lagipun kerajaan Malaysia sememangnya memerlukan rakyat yang bijak dalam bahasa Inggeris. Masyarakat luar (antarabangsa pasti tidak mahu menjalin kerjasama kerana mereka tidak memahami bahasa Melayu.
– BHO
Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s