Tips Tanam Petola

Persediaan tanah 

  • Petola segi akan mengeluarkan hasil yang tinggi jika ditanam di tanah yang gembur berpasir, mengandungi banyak bahan organik dan mempunyai saliran yang baik.
  • Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sm untuk memudahkan pertumbuhan akar.
  • Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan, biasanya lebar batas antara 1-1.2 meter,tinggi batas antara 20 dan 30 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialah 0.6 meter.
  • Batas di tambak dengan bahan organik tahi ayam atau kompos antara satu hingga tiga kg/meter persegi, bahan ini hendaklah digaulkan ke dalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok.

Penanaman
  • Jarak tanaman yang disyorkan ialah antara 50 dan 60 sm antara pokok dan 60 dan 100 sm antara barisan.
  • Biji benih boleh ditanam terus ke batas atau disemai dulu ditapak semaian sebelum di ubah ke ladang.
  • Jika ditanam terus, gali lubang sedalam satu hingga dua sm dan letak dua atau tiga biji benih dengan menjarakkan dua sm antara satu sama lain, benih dikambus menggunakan tanah halus.
  • Kadar biji benih yang diperlukan ialah lima kg/hektar.
  • Selepas seminggu anak benih bercambah, ia perlu dijarangkan dengan mencabut anak benih yang kurang segar, tidak sihat, tinggalkan satu pokok sahaja setiap lubang penanaman bagi mengelakkan persaingan dari segi makanan, ruang, cahaya dan air.
  • Tanah di keliling anak benih dipadatkan supaya pokok lebih kuat dan akar tidak terdedah.

Pemangkasan
  • Pemangkasan dilakukan dengan mencantas dahan sisi dan pucuk terutama cabang sisi yang tumbuh 30 sm dari paras tanah, ia bagi menggalakkan pertumbuhan batang utama supaya cepat memanjat “trelis”/junjung yang disediakan dan memperbaiki pengudaraan tanaman, mengurangkan pertumbuhan vegetatif dan menggalak pengeluaran buah.

Penyediaan junjung
  • Petola segi memerlukan junjung atau penyokong untuk membolehkan pokok memanjat dan memudahkan proses penuaian.
  • Sistem trelis boleh digunakan iaitu dengan memacakkan kayu beruti berukuran 5 sm x 5 sm x 6.5 meter panjang setiap jarak 3 meter.
  • Kemudian regangkan dawai kasar antara puncak kayu beluti dan sambungkan tiang kayu yang bertentangan antara kedua hujung batas, gunakan paku untuk memasang dawai dibahagian atas dan bahagian bawah antara antara 20 dan 30sm dari permukaan tanah batas.
  • Tali rafia diikat antara dua dawai halus bagi membantu anak pokok memanjat bila telah berumur dua minggu.

Pengairan
  • Pokok petola segi memerlukan air yang banyak untuk kelembapan yang cukup bagi pertumbuhan yang lebih subur.
  • Penyiraman dibuat dua kali sehari di peringkat awal penanaman dan dikurangkan sekali sehari bila pokok besar dan sehingga memungut hasil. Pengairan dibuat secara manual atau menggunakan sistem pengairan.
  • Perparitan diperlukan bagi kawasan yang menghadapi masalah saliran. Parit ladang dibina bagi menyalirkan air yang berlebihan ke parit utama.

Pengawalan rumpai
  • Pengawalan rumpai adalah penting untuk menjamin hasil yang tinggi, kawasan tanaman perlu sentiasa bersih bagi mengelakkan persaingan dalam mendapatkan zat makanan, air, cahaya dan ruang. Rumpai juga menjadi perumah bagi perosak dan penyakit tanaman. Kerja merumpai perlu dilakukan setiap minggu sama ada secara manual atau secara kimia ia dilakukan dua atau tiga bulan sekali, elakkan semburan pada tanaman.

Pembajaan
  • Baja yang disyorkan ialah 70 kg N:140 kg P2O5:200 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada jenis tanah di satu satu kawasan, keperluan nutrien tanaman, masa dan cara pembajaan .
  • Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 sm dari rumpun pokok serta dikambus.
  • Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40-50 gm/pokok diselangkan setiap dua minggu dan sebelum tanaman berbunga.  

Kawalan perosak dan penyakit
  • Serangga yang biasa menyerang petola segi ialah lalat buah (Dacus sp), serangan pada buah yang menyebabkan buah berlubang dan busuk, buah muda yang diserang menjadi teruk dan berubah bentuk dan terbantut, pastikan buah petola dibungkus dan musnahkan buah yang diserang perosak.
  • Serangan kumbang daun (Aulacophora sp) pada bahagian akar dan daun oleh kumbang dewasa dan larva kumbang menyebabkan kerosakan teruk pada tanaman, gunakan racun yang sesuai sebagai kawalan
  • Penyakit utama ialah kulapuk berdebu (Erysiphe cichoracearum) yang menyebabkan tompok putih dan berdebu di permukaan daun dan merebak pada keseluruhan daun dan bertukar menjadi kuning, perang dan kering dan berkedut.
  • Pokok yang diserang kurang berbuah dan kecil bentuknya. Jika terdapat tanda serangan musnahkan daun yang diserang dan sembur dengan racun kulat  yang sesuai.
  • Serangan kulapok downy (Pseudopereronospora cubensis) ialah pada daun, terdapat bintik berbentuk bersiku siku, berwarna hijau pucat kekuningan di atas daun, lapisan bawah diselaputi spora dan akhirnya menjadi perang dan mati, buah akan terbantut, pastikan daun yang diserang dimusnahkan.
  • Jika serangan teruk sembur dengan racun kulat yang sesuai.

Penuaian
  • Petola segi boleh dituai antara enam dan tujuh minggu selepas penanaman.
  • Tuaian hasil dibuat selang sehari dan berterusan antara antara 50 dan 60 hari.
  • Anggaran hasil ialah 12-20 tan/hektar. Tangkai buah dipotong 1.5 sm dari tangkai buah, ia digred mengikut saiz, kesegaran dan tahap serangan penyakit serta serangga. Petola segi tahan selama tiga hari tanpa menjejaskan kualiti jika disimpan pada suhu ambian.
  • Pada suhu 15 dan kelembapan kira-kira 95 peratus tahan disimpan selama dua minggu.

– UMO

AsiaCube? Sertai Sekarang!

AsiaCube sebuah lawan web pertukaran sosial dimana pengguna boleh bertukar pengikut di Twitter, Pinterest, Stumbleupon, serta ‘LIKE’ di laman Facebook dan pertukaran trafik sesama blogger. Konsep web sangat mudah iaitu seperti  ’I like you, you like me’ atau ayat yang biasa didengar ‘I follow you, you follow me’. Tetapi kesemua aktiviti anda akan perlu menggunakan sistem coins. Mudah cerita, semakin banyak coins anda ada, semakin ramai yang boleh follow/like anda!

AsiaCube masih baru. Oleh itu satu program ganjaran dan pemberian istimewa telah dibuat sebagai menghargai mana-mana blogger yang turut sama memperomosikan AsiaCube.

Pengecas Telefon Bimbit Tanpa Soket?

Masalah mendapatkan pengecas telefon bimbit terutama ketika saat genting mungkin boleh diatasi dengan menggunakan pengecas telefon bimbit mudah alih jenama Zelite keluaran syarikat bumiputera, Accuwest Sdn Bhd. Pengecas telefon bimbit mudah alih itu atau Z2100 bukan saja boleh digunakan di mana-mana, malah mampu bertahan sehingga lapan jam. Semua orang mempunyai produk teknologi yang menggunakan kuasa bateri, namun ia akan menjadi masalah jika tidak dapat dicaj hanya kerana tidak menjumpai soket dinding.
Dengan menggunakan produk ini, telefon bimbit boleh dicaj di mana-mana tanpa sebarang masalah kerana ia turut dilengkapi dengan penyambung telefon bimbit yang bersesuaian. Syarikat tersebut telah melakukan kajian selama dua tahun untuk menghasilkan produk itu dan mengetengahkan konsep teknologi serta gaya dalam menampilkannya. Ia dihasilkan dengan warna dan gaya menarik supaya pengguna berasa berbaloi membelanjakan wang untuk membelinya. Malah, ia adalah yang pertama menggabungkan teknologi dan gaya dalam satu produk.
Produk itu diperbuat daripada lithium polimer yang tidak akan meletup pada suhu ekstrem dan menggunakan konsep teknologi hijau. Produk ini juga direka dan diakui berkualiti kerana sudah dipasarkan di Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK) serta mendapat sambutan menggalakkan. Mereka yang berminat menjadi ejen pemasaran atau mendapat maklumat lanjut boleh atau layari zelite.net.
– MM

AHB: Pulangan Lumayan Risiko Rendah

Pelaburan penting sebagai persediaan masa akan datang kepada individu. Namun, pemilihan pelaburan juga memainkan peranan penting bagi memberi manfaat kepada pelabur itu sendiri. Antara yang terbaru ditawarkan di pasaran adalah Amanah Hartanah Bumiputera (AHB).
Apakah objektif utama pelancaran AHB kepada orang ramai? 
Objektif utamanya adalah untuk membuka peluang kepada kaum Bumiputera dalam pelaburan pemilikan hartanah komersial perdana, terutamanya di bandar raya utama di Malaysia. Oleh itu, pelaburan dalam AHB ini amat sesuai untuk pelabur Bumiputera kerana ia memberikan pulangan yang lumayan dan stabil pada risiko yang rendah. Ia juga menggunakan pendekatan syariah dan boleh dijual semula dengan segera sekiranya wang pelaburan ini diperlukan oleh pelabur untuk tujuan lain.
Apakah kelebihan jika melabur dalam AHB? 
AHB menawarkan suatu kelainan iaitu pelaburan di dalam hartanah komersial perdana di lokasi strategik terutamanya di Lembah Klang. Ia adalah peluang pelaburan pada risiko yang rendah dan dikawal selia secara langsung oleh kerajaan. Dengan pelaburan minimum iaitu hanya RM500, skim AHB ini mampu disertai oleh sebahagian besar Bumiputera. Seterusnya penyertaannya juga amat mudah iaitu melalui semua cawangan Maybank di seluruh negara.
Apakah kelebihan dalam pelaburan hartanah seperti ini dan apakah impaknya kepada pelabur? 
Antara kelebihan dalam pelaburan hartanah terutamanya AHB adalah menerusi Unit Amanah berteraskan Hartanah Perdana iaitu pelaburan yang kukuh dan mempunyai risiko lebih rendah berbanding kebanyakan pelaburan lain. Pada jangka panjang, nilai hartanah dan kadar sewaan bagi lokasi di pusat bandaraya lazimnya akan meningkat naik. Selain itu, AHB adalah pelaburan yang rendah dengan harga RM1 seunit iaitu pelaburan minimum RM500 dan tambahan serendah RM100 saja. Malah, ia mudah disertai dan berisiko rendah. Pelabur pula akan dapat mengurangkan risiko kerugian pada nilai pokok pelaburan dengan harga seunit tetap pada RM1.
Jika dilihat pembabitan Bumiputera dalam bidang pelaburan agak kurang berbanding dengan kaum lain. Oleh itu, apakah inisiatif PHB dalam menarik lebih ramai kaum Bumiputera untuk melabur terutama dalam bidang hartanah? 
Kurangnya pembabitan Bumiputera dalam bidang hartanah adalah kerana ia memerlukan modal yang besar. Oleh itu, PHB menyahut seruan kerajaan untuk memantap dan meningkatkan pemilikan dan pegangan Bumiputera dalam pemilikan menguntungkan hartanah komersial utama di Lembah Klang melalui pelancaran AHB yang mana hanya terbuka kepada kaum Bumiputera saja.
– MM

Tip Asas Penjagaan Bahagian Motosikal

Antara kita sebagai pengguna motosikal langsung tidak mengambil berat atau menjaga tempoh servis yang betul setiap hari atau hujung minggu, kita hidupkan enjin dan terus menunggang. Tahukah anda ada beberapa bahagian yang harus diperiksa setiap kali sebelum memulakan perjalanan. Ini bagi memastikan motosikal anda selamat untuk ditunggang sama ada ke tempat kerja mahupun berkonvoi di hujung minggu.
Saya ingin berkongsi tip untuk penjagaan bahagian penting pada motosikal terutamanya yang berusia dua tahun ke atas atau perlu menempuhi perjalanan yang jauh setiap hari. la penting dan harus diambil perhatian sewajarnya demi menjamin keselamatan ketika menunggang.
Saluran getah minyak
Pastikan ia tiada kebocoran, rosak atau kembang .Sekiranya terdapat tanda-tanda kebocoran atau bau minyak, jangan tunggu lama dan terus ke bengkel berhampiran untuk menukar yang baru.
Brek
lni antara bahagian terpenting bagi memastikan keselamatan terjamin. Periksa tekanan brek depan dan belakang, minyak brek mencukupi, lapisan brek (break pad) atau servis setiap enam bulan. Pastikan juga lampu brek menyala bila ditekan.
Tayar
Periksa tekanan angin mencukupi mengikut bacaan yang tepat pada tayar depan dan belakang. Tayar harus ditukar sekiranya terdapat rekahan terutama pada usia hampir setahun atau sering menggunakannya untuk perjalanan yang jauh. Gunakanlah tayar yang bermutu tinggi terutama bagi mereka yang kerap berkonvoi atau suka menunggang laju demi menjamin keselamatan ketika menunggang.
Minyak enjin
Paras minyak enjin harus diperiksa agar tepat dan mencukupi. Enjin tidak akan bermasalah sekiranya penjagaan atau pertukaran minyak dilakukan mengikut masa atau jarak kilometer yang telah ditetapkan. Ini amat penting untuk memastikan kelancaran dan ketahanan enjin yang lebih baik. Penggunaan minyak enjin yang berjenama adalah digalakkan untuk kelancaran yang berpanjangan.
Rantai motor
Semburkan minyak rantai motor anda dengan penyembur minyak rantai pada setiap 300km perjalanan atau dua hari sekali. Rantai kering atau berkarat akan merosakkan sprocket atau boleh menyebabkan rantai putus. Rantai yang terlalu lama digunakan atau longgar, keras, berkarat dan sebagainya harus ditukar bersama sprocket depan dan belakang. Rantai harus diikat tidak terlalu ketat atau longgar.
Tali kabel
Periksa kesemua tali kabel iaitu brek, klac dan minyak. Pastikan kelembutan bila ia ditarik. Ini penting kerana tali kabel yang keras dan berkarat akan menyebabkan ia putus atau keras bila ditarik dan akan mengganggu kelancaran penunggangan.
Lampu dan bateri berfungsi
Seelok-eloknya periksa lampu hadapan, belakang dan lampu membelok sebelum memulakan perjalanan. Ini amat penting terutama ketika menunggang sewaktu hujan. Jangka hayat bateri yang dijaga dengan betul ialah antara satu hingga dua tahun sahaja. Sila periksa tarikh terakhir yang anda tukar.