Peringatan Dari Allah S.W.T.

Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai satu virus yang berbahaya, yang sekali lagi menyerang penduduk dunia. Virus tersebut ialah selesema khinzir. Virus atau wabak ini sempat membuatkan manusia cemas dan hidup dalam ketakutan. Mana tidaknya, virus ini boleh menyebabkan kematian yang tidak dijangka-jangka. Dahulunya ia dikenali sebagai selesema burung.

Kini, virus itu menyerang sekali lagi. Kali ini, khinzir merupakan alat penyebar virus tersebut. Alhamdulillah, kita sebagai umat Islam diharamkan daripada memakan daging babi dan mengambil manfaat daripadanya. Tidakkah kita terfikir makna yang tersirat daripada pengharaman tersebut? Manusia pada zaman dahulu tidak dapat mengkaji keburukan daripada memakan daging khinzir. Tetapi, teknologi kini semakin canggih.

Teknologi sains pada zaman kini telah membuktikan dan membongkar rahsia pada daging khinzir. Ternyata, daging khinzir sememangnya membawa keburukan kepada si pemakan. Dan ianya boleh membawa pelbagai penyakit yang berbahaya pada jangka masa panjang. Benarlah apa yang dikatakan di dalam Al-Quran selama ini. Saban hari angka kematian semakin meningkat akibat virus pada khinzir ini. Tidakkan kita berfikir bahawa kita umat yang paling beruntung?

Ketika mana virus ini menyerang penduduk di Eropah, seorang tokoh di Malaysia dengan begitu yakin menyatakan bahawa virus ini tidak akan masuk ke Malaysia. Tidak lama kemudian virus tersebut telah mula menyerang penduduk negara jiran kita, Thailand. Bagaimana anda boleh sebegitu yakin berkata sedemikian? Sedarlah, virus ini merupakan sebahagian daripada tentera-tentera Allah S.W.T yang akan menyerang manusia dengan perintah Allah ketika manusia lalai dengan kehidupan di dunia.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Fath ayat 4 yang bermaksud:

“Dia-lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Ya, virus ini merupakan tentera daripada Allah yang ditugaskan untuk memberi peringatan kepada manusia agar tidak leka dengan kehidupan di dunia. Pernahkah kita mendengar kisah Namrud? Seorang raja yang angkuh dan takbur tetapi akhirnya ditewaskan dan mati di tangan seekor nyamuk! Seekor nyamuk yang kecil sahaja sudah cukup untuk membunuh seseorang.

Semua ini dengan perintah Allah yang Maha Kuasa. Ingatlah, setiap yang hidup pasti akan merasai mati apabila tiba masanya. Dan mati tidak sesekali akan menunggu kita. Dan mati juga tidak akan dilewatkan walaupun sesaat bila tiba masanya.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Anbiyaa’ ayat ke 35 yang bermaksud:

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada kamilah kamu dikembalikan.”

Pernahkah kita bertanya pada diri sendiri, adakah kita sudah sedia untuk menghadapi mati?

Tingkatkan Daya Ingatan

Anda merasakan anda sudah tua kerana sikap anda yang pelupa? Anda asyik lupa di mana kali akhir anda meletakkan sesuatu? Orang di sekeliling selalu marahkan anda kerana lupa tarikh penting, lupa letak barang, lupa makan ubat, lupa fakta2, lupa tutup kipas, lupa arah jalan, lupa nama orang dan macam-macam lagi. Sebenarnya, kita dapat meningkat daya ingatan atau mengurangkan risiko menjadi pelupa dengan mengamalkan tips-tips di bawah secara berterusan. Lebih baik jika kita mempraktikkan ketika usia masih muda supaya kelak di hari tua kita tidak menjadi terlalu pelupa. Antaranya ialah:

Amalkan Tidur Yang Cukup

1/3 hidup kita dihabiskan dengan tidur. Namun ada orang yang suka tidur lewat atau mengabaikan tidur yang cukup. Badan perlu rehat. Keletihan hanya akan mengganggu maklumat / data yang telah disimpan oleh otak dan juga menjejaskan kemampuan untuk mempelajari sesuatu yang baru. Oleh itu, amalkan tidur yang cukup di malam hari kerana ia dapat membantu daya ingatan kita berfungsi.

Mengawal Tekanan

Tekanan hanya akan membuat jiwa anda tidak tenteram dan menyebabkan kesihatan anda terganggu. Anda juga lebih cenderung untuk menjadi seseorang yang tidak peka dengan keadaan persekitaran. Anda tidak dapat berfikir dengan jelas dan daya ingatan anda juga terjejas. Oleh itu, kawal tekanan anda dengan baik seperti bermeditasi, membaca Al-Quran, yoga, sauna, aromaterapi dan sebagainya.

Berhati2 Dengan Pengambilan Vitamin atau Makanan Tambahan

Sesetengah produk yang dijual di kaunter atau farmasi tidak sesuai dengan kita. Ada yang kononnya dapat meningkatkan daya ingatan. Tetapi sebaliknya ada yang memberi kesan sampingan. Oleh itu, lebih baik jika kita mendapatkan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan kita dengan pemakanan yang seimbang atau rujuk dahulu doktor yang bertauliah sebelum membeli makanan tambahan.

Bersenam

Bersenam dapat menggerakkan otot-otot dan melancarkan peredaran darah ke otak. Oleh itu, daya ingatan kita juga akan menjadi lebih baik. Amalkan senaman walaupun sekadar berjalan kaki.

Elakkan Kemurungan

Kemurungan dalam hidup akan menyebabkan hidup anda tidak ceria. Anda sentiasa berada dalam keadaan tidak segar dan rasa kecewa. Lama kelamaan ia turut menjejaskan daya ingatan anda dan membuat anda tidak hirau dengan persekitaran anda. Ubatilah kemurungan sebelum menjadi serius dengan berjumpa psikiatri atau beramal-ibadah mendekatkan diri kepada Tuhan.

Awasi Pengambilan Ubat

Daya ingatan mungkin menjadi lemah dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti pil hormon, ubat darah tinggi, anti-kemurungan dan sebagainya. Jika anda menghadapi masalah daya ingatan disebabkan pengambilan ubat, konsultasi dengan doktor. Jangan mengambil ubat tanpa arahan doktor.

Belajar Sesuatu yang Baru

Cubalah aktifkan pemikiran anda dengan mempelajari sesuatu yang baru misalnya Bahasa Jepun, kursus kemahiran jangka pendek, menjahit, atau menghadiri ceramah dan motivasi.

Permainan

Bermain sesuatu permainan seperti board games dapat merangsang minda. Contohnya, catur, scrabble (Sahibba) dan Monopoli. Selain itu, teknologi sekarang lebih baik seperti permainan komputer dan Playstation. Pilihlah jenis permainan yang mencabar minda.

Banyak Membaca

Jadikan amalan membaca sebagai kegiatan harian. Membaca dapat meluaskan pengetahuan, mengembangkan minda dan menajam daya ingatan. Cuba ingat sedikit-sebanyak fakta yang terkandung di dalam bahan bacaan.

Katakan Berulang Kali

Untuk meningkat ingatan anda tentang sesuatu maklumat atau tarikh, katakan dengan kuat dan berulang kali sehingga anda benar-benar ingat akan maklumat tersebut.

Fokus

Daya ingatan dapat dilancarkan sekiranya anda sering fokus dalam sesuatu, contohnya matlamat hidup. Anda juga dapat belajar fokus dengan menumpukan fikiran anda pada sesuatu perkara dan mencatatkan apa yang anda fikirkan.

Bermain Dengan Angka

Asahkan minda anda dengan cuba bermain dengan angka seperti mengingati nombor telefon rakan-rakan. Selain itu, anda boleh menghubungkaitkan angka-angka tersebut dengan sesuatu bagi meningkatkan daya ingatan.

Membaca Al-Quran

Sekiranya anda seorang Muslim, amalkan membaca Al-Quran walau sehelai muka surat setiap hari. Membaca Al-Quran dapat menerang jiwa, menenangkan perasaan dan menajamkan daya ingatan dengan lebih baik.

Sumber: Azmidotcom