Peruntukan untuk hargai diri

Selepas merangka perbelanjaan & membuat perancangan kewangan pernahkah terfikir bagi kita untuk mengasingkan sejumlah wang setiap bulan sebagai hadiah kepada diri sendiri? Ia bukan simpanan tetap untuk jangka masa panjang yang paling minimum 10% sebulan. Bukan juga simpanan untuk kegunaan kecemasan sebanyak 3 atau 6 bulan gaji kasar, tetapi peruntukan sebanyak 10% ini adalah untuk diri sendiri. Menurut T Harve Eker dalam bukunya The Millionaire Mindset, peruntukan sebanyak 10% ini adalah untuk diri yang perlu dihabiskan setiap bulan. Logiknya hal ini adalah Eker membuat andaian bahawa dalam diri manusia ini ada jiwa kanak-kanak yang perlu dibelai & dimanjakan.

Jika jiwa ini terus ditekan mengikut regim simpanan yang ketat, kemungkinan ia akan memberontak. Ketika itu, perancangan kewangan yang dibuat mungkin tidak berhasil kerana jiwa kanak-kanak ini akan cuba menggagalkan rancangan berkenaan. Justeru, sebagai manusia yang keinginan pelbagai sedangkan sumbernya terutama pendapatan adalah terhad, ada baiknya jiwa kanak-kanak ini diberikan perhatian. Sekiranya anda sedang merangka perbelanjaan & cuba mengukuhkan kedudukan ekonomi keluarga secara berbelanja berhemah, memenuhi keperluan jiwa kanak-kanak seharusnya termasuk dalam agenda setiap bulan. Peruntukan 10% itu pada sebilangan orang mungkin agak tinggi untuk dibelanjakan pada diri sendiri.

Anda boleh mengurangkan jumlah peratusannya. Bagaimanapun, ia terpulang kepada bajet anda kerana yang penting, peruntukan pada diri sendiri adalah sebagai pendorong kepada diri anda untuk berusaha lebih gigih lagi. Dengan wang berkenaan, anda mungkin boleh membeli barang berjenama yang lama anda idamkan, baju baharu ataupun tas tangan & kasut baharu. Anggaplah ia sebagai hadiah kepada diri sendiri. Sebelum Eker memperkenalkan konsep ini. Peruntukan bagi diri sendiri ini bukan saja dalam bentuk barangan, anda mungkin juga boleh merancang percutian bersama keluarga ataupun mengadakan aktiviti lain seperti menonton wayang ataupun bermain boling bersama.

Dari segi psikologi, tindakan ini ada rasionalnya. Pernahkah anda mengalami satu detik di mana anda berasa bosan apabila sudah terlalu lama memberi & memberi? Contoh paling mudah, katakan anda sudah terlalu lama bekerja di sesuatu tempat – bekerja dengan penuh dedikasi & sentiasa cuba memberikan yang terbaik namun kebolehan anda itu tidak dihargai. Selain wang untuk hidup, manusia perlukan penghargaan sama ada daripada syarikat ataupun dari diri sendiri. Memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan adalah sebagai tanda penghargaan kepada diri anda. Tepuk diri anda & katakan – kamu sudah melakukan yang terbaik. Sekalipun sudah berusia, dalam diri kita masih lagi ada jiwa kanak-kanak yang perlu dimanja, dibelai & disayangi.

Tinggalkan komen