Melindungi maklumat daripada ancaman spam

Pemilik akaun e-mel pasti pernah menerima mel elektronik yang dihantar daripada alamat pengirim yang tidak dikenali dan sering kali dikaitkan dengan e-mel spam. Kebiasaannya, e-mel yang dihantar daripada pengirim tidak dikenali itu mengandungi pesanan mel yang tidak memberi sebarang makna atau mempunyai unsur boleh mengancam keselamatan pemiliknya.

Bagaimanapun, perlu diingat penerimaan e-mel seumpamanya juga boleh dihantar daripada pengirim yang dikenali apabila ia digunakan oleh program yang boleh mengancam & berniat jahat. Ciri e-mel spam yang dimaksudkan itu mampu menarik perhatian pengguna dengan membeli produk atau menyaran pemilik akaun untuk mendaftarkan diri bagi perkhidmatan yang ditawarkan. Ada kalanya, ia turut dilengkapi fail lampiran & laman web yang menghubungkan pengguna dengan program berbahaya & memiliki unsur ancaman yang boleh mendedahkan identiti peribadi pemilik.

Kepada pengguna biasa, adalah sukar untuk menentukan sama ada e-mel yang diterima itu memiliki ciri e-mel spam. Cara untuk mengenalpasti mel spam dapat dilihat berdasarkan penggunaan nama unik bagi tajuk e-mel yang dihantar bagi menarik perhatian pengguna untuk membukanya. Jiak anda berdepan dengan situasi itu, anda disarankan ‘jangan buka’ e-mel terbabit sehingga identiti pengirim dapat dikenalpasti. Ciri e-mel spam dapat dilihat dengan jelas menerusi penggunaan rangkaian ayat yang disengajakan dieja dengan salah bagi mengelirukan program antispam yang dipasang dalam komputer pemilik.

Selain itu, pendekatan yang sama digunakan bagi mendapatkan maklumat peribadi pemilik e-mel menerusi penghantaran pesanan yang dikenali phishing. Ia adalah proses penghantaran e-mel spam berunsurkan penipuan apabila kebiasaannya datang daripada pihak bank atau institusi kewangan tanpa pengetahuan mereka. Jika e-mel seumpamanya diterima, pastikan laman web yang dihubungkan itu adalah asli terutamanya apabiala ia datang daripada pihak bank.

Sehubungan itu, pelbagai komponen keselamatan turut dibangunkan pada e-mel menerusi komponen penapisan spam bagi melindungi pengguna. Malah, bagi memastikan pengguna dilindungi, anda disarankan untuk memiliki lebih daripada satu e-mel. Ini bagi membolehkan anda mencuba laman web yang diterima berunsurkan mel spam itu, dengan didaftarkan menerusi pendekatan penggunaan latar belakang pemilik yang tidak tepat. Menerusi pendekatan itu, pemilik akaun e-mel dapat mengenalpasti sama ada e-mel yang diterima itu mempunyai unsur e-mel spam yang dimaksudkan.

Advertisements

‘Karnival’ tidak sesuai untuk umat Islam


Perkataan karnival (carnival) berasal daripada Latin iaitu ‘carnevale‘. Carne bererti daging & vale bererti selamat tinggal, yang bermaksud berhenti memakan daging. Penggunaannya dikesan dalam kurun ke-13 Masihi dikaitkan dengan amalan pengikut gereja Roman Katolik yang berpesta sebelum berpuasa ketika ‘Lent‘. Sebenarnya amalan pesta ‘carnival’ bermula dari era sebelum Kristian & dirayakan selama 3 hari pada penghujung musim sejuk sehingga permulaan musim bunga. Ia dilakukan untuk menghalau hantu syaitan jahat musim sejuk sebelum memasuki musim bunga. Justeru itu, ‘carnival’ kekal sebagai upacara menghalau hantu syaitan & ia adalah sejenis amalan tahyul. Hantu syaitan itu dikatakan suka membuat bising & mengganggu manusia dan untuk menghalaunya mereka menggunakan cemati, loceng & alatan muzik yang lebih bising. Pihak gereja Roman Katolik gagal dalam usaha membuang tradisi kuno perayaan ‘carnival’ ini. Seperti kebiasaan, mereka kemudian menerapkan karnival ke dalam ajaran Kristian. Pada 1901, “Synod of Benevento‘ membuat deklarasi bahawa Rabu selepas sambutan 3 hari karnival adalah dikenali sebagai ‘Ash Wednesday‘. Daripada sorotan di atas, jelaslah karnival berkait dengan kepercayaan tahyul yang syirik dari segi ajaran Islam yang kemudian diterapkan ke dalam ajaran agama Kristian. Maklumat berkenaan terkandung dalam rujukan seperti berikut: Origin and History of Carnival diterjemahkan & disunting oleh Drs Trudy Martinus terbitan Curacao Carnival Foundation (http://karnaval.an/Origin_and_History) & satu lagi Carnival in Germany (http://bbc.co.uk/h2g2/Carnival in Germany.htm). Islam membuang semua bentuk kepercayaan tahyul atau apa-apa kepercayaan atau pesta yang berkaitan dengannya. Islam juga melarang umatnya mengikuti amalan atau gaya hidup yang ditiru daripada penganut agama lain lebih-lebih lagi apabila membabitkan akidah. Persoalannya, mengapa hari ini masyarakat Islam masih memilih perkataan karnival untuk dijadikan nama pilihan bagi sesuatu pesta, perayaan, sambutan atau beli-belah. Tiada sesiapa pun yang memaksa kita menggunakan perkataan itu.

Permohonan IPTA menerusi Internet

Semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diwajibkan membuat permohonan memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi pengajian 2008/2009 menerusi aplikasi dalam talian (online). Langkah itu adalah antara penambahbaikan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memastikan proses permohonan kemasukan ke IPTA lebih pantas & berkesan. Pemohon yang berdepan masalah kemudahan Internet, terutama di kawasan pedalaman, boleh menghubungi pegawai kementerian untuk bantuan membuat permohonan melalui aplikasi dalam talian. Setiap tahun kementerian mendapat rayuan daripada pemohon di Sabah & Sarawak. Bagaimanapun, bilangannya kecil. Menerusi aplikasi dalam talian, pemohon hanya perlu menggunakan nombor pengenalan unik (Nombor Unik ID) 6 angka, nombor kad pengenalan (IC) & kata laluan (password) untuk membuat permohonan. Nombor Unik ID boleh dibeli di kaunter atau mesin juruwang automatik (ATM) di 375 cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara sehari selepas iklan pelawaan permohonan diumumkan pada 4 Februari 2008 sehingga tarikh tutup permohonan. Harga setiap Nombor Unik ID ialah RM10 untuk lepasan SPM & RM15 untuk lepasan STPM atau setaraf.
BSN juga akan menyediakan perkhidmatan pembelian Nombor Unik ID di 40 mesin deposit tunai selewat-lewatnya hujung Mac ini & menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada masa depan. Permohonan kemasukan sesi 2008/2009 menerusi dalam talian itu akan dibuat dalam 2 fasa bagi mengelakkan masalah talian sibuk atau kesesakan pelayan (server) seperti tahun lalu. Fasa pertama dari 12 November hingga 31 Disember 2007 dengan setiap pemohon hanya dikehendaki memasukkan maklumat diri tanpa memilih universiti. Fasa ke-2 yang akan dibuka semula daru jam 12 tengah hari pada 4 Februari 2008 hingga 10 hari bekerja selepas keputusan SPM diumumkan, calon boleh memilih universiti serta kursus yang dikehendaki. Bagi fasa pertama yang ditutup pada 31 Disember 2007, seramai 97,639 lepasan SPM, iaitu kira-kira 65% daripada anggaran keseluruhan 150,000 pemohon, mengemukakan permohonan. Daripada jumlah itu, 45% adalah pemohon luar bandar & ini satu petanda baik bahawa masyarakat di kawasan pedalaman semakin menyedari kepentingan penggunaan Internet. Bagi permohonan kemasukan ke IPTA untuk lepasan SPM 2006 tahun lalu, 77% atau 105,344 daripada keseluruhan 135,458 permohonan diterima secara aplikasi dalam talian.

*Talian bantuan untuk permohonan ke IPTA:-
Helpline: 03-8883 5848
Hotline: 03-8883 5858
SMS: 32300
E-mel: upu@mohe.gov.my

Rangkaian data saham amanah

Suruhanjaya Sekuriti (Security Commission – SC) telah memperkenalkan pangkalan data (database) saham amanah secara dalam talian (online), termasuk prospektus, surat ikatan amanah, laporan tahunan (annual report) & penyata kewangan atau laporan pengarah semua amanah saham Malaysia yang diterbitkan daripada 1996 hingga sekarang. Pangkalan data secara dalam talian itu bermanfaat terutama kepada yang menjalankan kajian perbandingan amanah saham. Inisiatif itu diterajui Pusat Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) sebagai sebahagian inisiatif pembangunan keseluruhan perpustakaannya untuk mengenalpasti, menggabung & menyediakan capaian atas talian kepada data pasaran modal & maklumat yang akan memperkenalkan pendidikan pelabur & menyokong penyelidikan pasaran modal. Akses pangkalan data hanya untuk pengguna berdaftar sebagai ahli perpustakaan SIDC. Keanggotaan individu berjumlah RM50 setahun manakala korporat yang membenarkan 3 penama berjumlah RM500 setahun. Borang pendaftaran boleh didapati secara dalam talian di laman web SC, http://www.sc.com.my/ .

JobStreet sedia laman web pekerjaan

Lepasan universiti yang masih menganggur boleh mencuba nasib mencari pekerjaan sesuai dengan melayari laman web pekerjaan terbesar di Asia Pasifik, JobStreet.com (JobStreet). Hal ini kerana JobStreet menyediakan satu laman web khas iaitu khidmat JobStreet Campus dalam usaha meningkatkan peluang lepasan universiti tempatan mendapatkan pekerjaan. Perkhidmatan web itu membolehkan graduan menghantar resume yang kemudiannya dicapai syarikat yang mempunyai kekosongan jawatan. JobStreet menggunakan perisian LiNa untuk membuat penyesuaian pemohon dengan data kerja kosong & SiVa bagi membantu majikan memproses permohonan, penjadualan temu duga secara automatik, ujian dalam talian (online) & penilaian terhadap calon. Laman web itu menerima sesiapa saja memohon kerja tanpa mengira tahap kelulusan, tetapi kelayakan bagi sesuatu pekerjaan itu perlu selaras dengan permintaan. Mereka yang berminat untuk mendaftar boleh melayari laman web JobStreet.com. Pendaftaran ini percuma asalkan mereka mempunyai e-mel sah. Jangka masa pemohon mendapat pekerjaan bergantung kekosongan jawatan diiklankan majikan & mereka boleh menyemak status permohonan dari semasa ke semasa. Terlalu banyak jawatan dalam pelbagai bidang diiklankan setiap hari & JobStreet memberi makluman mengenai kerja kosong menerusi ‘Job Alert‘. Antara syarikat yang mengiklankan jawatan kosong menerusi laman web itu ialah Petronas, Shell, Intel, Bank Negara, & Maybank.