Bekerja sambil mengejar impian

“Apa kamu buat di sini, tak ada kuliah ke?” tegur seorang lelaki berjambang yang lebih banyak putih dari hitam, kepada seorang pelayan di sebuah restoran makanan segera. Pertanyaannya itu menyebabkan keluarganya yang berada di sebelahnya mula bertanya-tanya siapakah remaja berkenaan. “Hari ini kuliah saya banyak pada sebelah pagi, pukul 12 tengah hari dah habis, Prof punya kelas pun hari ini tak ada, jadi petang saya di sini, cari duit sikit,” jawab pelayan berkenaan sambil menghulurkan sebungkus burger yang sewaktu dipesan oleh lelaki berkenaan di kaunter, masih belum siap.

“Tak ganggu pelajaran ke, awak sekarang final year?” soal pula lelaki berkenaan yang pada pandangan Yoi mungkin seorang pensyarah di sebuah universiti. “Tak lah, hari biasa saya kerja 2 hari saja, cuma hujung minggu saya kerja lebih sikit. Terpaksalah Prof, kalau tidak mana nak cukup. Ibu bapa saya bukannya orang senang. Bapa saya hanya penanam sayur. Sekurang-kurangnya bila kerja saya tak perlu belanja untuk makan tengah hari & malam,” jelas remaja berkulit putih cerah & mata agak kecil itu.

“Awak tak dapat pinjaman ke?” balas pula lelaki itu ingin mengetahui lebih lanjut. “Dapat, tapi saya tak mahu. Kalau pinjam kena bayar, lebih baik saya kerja macam ini dan bapa bantu sikit-sikit. Lagipun saya dah biasa. Dulu masa sekolah saya bantu bapa di kebun,” jawab remaja berkenaan sambil meminta izin untuk pergi bagi meneruskan kerjanya. Yoi yang duduk di meja sebelah, mengangguk setuju dengan pendapat pelayan berkenaan, yang Yoi pasti adalah seorang pelajar di sebuah pusat pengajian tinggi. Sememangnya, kalau sudah namanya pinjaman mesti perlu dibayar.


Tetapi apa yang Yoi lebih terkesan dengan sikapnya ialah beliau lebih rela berdikari mencari wang menampung perbelanjaan pengajiannnya daripada mengharapkan pinjaman. Seperti kata pepatah Melayu, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian, ia nampaknya menjadi pegangan remaja berkenaan yang mungkin hanya mendengar pepatah itu sewaktu di sekolah. Sikapnya mungkin agak berbeza dengan sesetengah remaja, yang nampak mewah sewaktu masih di IPT lagi, dengan motosikal & telefon bimbit, sedangkan semuanya itu diperoleh melalui wang pinjaman pendidikan yang seharusnya digunakan untuk keperluan yang lebih mendesak seperti buku.

Ketika sebahagian rakan-rakan tidak ada kuliah sibuk ke sana-sini, malah mungkin ada yang sedang melayan perasaan dengan kekasih hati atau juga berchatting di saluran televisyen, remaja ini terpaksa mengumpul tenaga bagi mencari pendapatan untuk menampung pengajian. Baginya itu mungkin yang terbaik untuk dirinya dan juga untuk meringankan beban keluarganya dalam menampung pengajiannya. bagi remaja sebegini, yang terpaksa bekerja ketika masih menuntut jika memperoleh keputusan yang baik ia adalah bonus, tetapi jika pencapaiannya sederhana bukanlah satu kegagalan kerana beliau sekurang-kurangnya sudah mendapat satu pengalaman kerja yang cukup berharga.

Pada pandangan Yoi, dengan sijil yang diperolehinya ia mungkin dapat menjadi batu loncatan untuk pergi jauh dalam syarikat makanan segera itu, juga apa yang lebih penting tidak perlu menanggung beban pinjaman selepas tamat pengajian. Ya, faktor kemiskinan menyebabkan ada yang terpaksa mengambil sikap seperti remaja ini. Namun inilah pengorbanan dan seperti mana cerita mereka yang berjaya, ia bermula dari kesusahan.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s