Sedia sistem sokongan untuk data dalam PC

Bayangkan maklumat serta data yang disimpan di dalam komputer peribadi (PC) anda hilang & lenyap apabila berlaku kerosakan / bencana pada cakera keras dalaman; pastinya ia adalah situasi paling menyedihkan kepada pemilik komputer. Bagi menangani masalah kehilangan maklumat penting yang disimpan di dalam PC, anda akan diberitahu langkah yang boleh dilakukan untuk menyimpan fail & maklumat penting iaitu menerusi kaedah sistem sokongan (backup).

Sistem sokongan fail adalah pendekatan mudah serta berkesan yang boleh dilaksanakan dengan hanya membuat salinan maklumat & data yang disimpan dalam cakera keras ke destinasi lain seperti cakera liut (floppy), cakera ZIP, pemacu USB flash & storan fail dalam talian. Bagaimanapun, pemilihan perkakasan untuk sistem sokongan itu bergantung kepada keperluan & persediaan dari segi masa untuk melakukan proses menyokong fail daripada cakera keras. Sekiranya penggunaan PC anda meliputi kegunaan untuk perniagaan yang beroperasi dari rumah, pengguna perlu memperuntukkan pelaburan lebih tinggi bagi pembelian sistem sokongan lebih stabil yang mampu melaksanakan aktiviti itu setiap hari. Untuk kegunaan biasa, aktiviti sokongan itu boleh dilakukan seminggu sekali yang kemudian disusuli dengan penyelenggaraan sistem sokongan lengkap bagi tempoh setiap 6 bulan. Sistem sokongan boleh dilakukan dengan membuat salinan fail / folder yang disimpan di dalam lokasi utama PC (kebiasaannya cakera keras) untuk dihantar ke perkakasan tambahan lain seperti cakera liut, cakera padat (CD), pemacu USB & cakera keras luaran. Selain itu, pengguna PC boleh melaksanakan proses sokongan fail menerusi utiliti sokongan Windows yang dilengkapi pada sistem operasi (OS) komputer. Bagi tujuan itu, pengguna boleh memulakan operasi sokongan dengan satu klik pada Start yang kemudian akan memaparkan All Programs. Pada All Programs, anda perlu melakukan beberapa langkah tertentu yang disusuli dengan carian folder aksesori, diikuti kelengkapan sistem (system tools) sebelum melakukan pemasangan aplikasi sokongan dalam program Backup.

Bagi pengguna baharu, anda disarankan untuk menggunakan kaedah Restore Wizard untuk memastikan proses pemasangan lengkap pada sistem komputer berjalan lancar. Apabila proses itu dilakukan dengan betul, anda hanya perlu mengikut arahan penetapan sistem sokongan seperti yang ditetapkan.

Putek latih usahawan teknikal Bumiputera

Program Usahawan Teknologi (Putek) sebahagian daripada Program Pembangunan Usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA) diwujudkan pada 1996, iaitu tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7). Pelancaran program itu sejajar hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai usahawan teknikal Bumiputera di seluruh negara. Menerusi program itu, usahawan baru yang berminat menceburi bidang perniagaan, khususnya berasaskan kemahiran, akan dibantu melalui pakej kemudahan, sokongan & bantuan galakan.

Bantuan diberikan sehinggalah mereka mampu berdikari & menguruskannya sendiri. Program itu disasarkan kepada lepasan pelatih institusi teknikal Mara seperti Institut Kemahiran Mara, Giat Mara, Infotech Mara, institusi teknikal awam & swasta serta siswazah dalam bidang teknikal. Antara perniagaan yang diberikan keutamaan ialah bidang berkaitan elektrik/elektronik, mekanikal, teknologi aluminium, jahitan pakaian, kek & pastri, kimpalan, komputer & teknologi maklumat serta motosikal. Setiap usahawan yang menyertai program itu akan diberikan bantuan secara pakej meliputi kemudahan latihan seperti kursus pembentukan usahawan, pengurusan perniagaan & asas teknikal mengikut bidang perniagaan. Selain itu kemudahan sewa peralatan & mesin serta pembiayaan perniagaan usahawan teknikal juga disediakan. Dalam pada itu, pegawai Mara sentiasa memberi khidmat rundingan & bimbingan projek menerusi Skim Pakar Runding usahawan Mara. Pemantau & susulan bagi menilai kemajuan serta perkembangan usahawan dibuat dari semasa ke semasa. Putek dijalankan dalam 4 fasa yang antaranya peserta perlu mengikuti kursus pembentukan usahawan bagi tempoh 15-20 hari secara berperingkat bagi fasa satu.

Ia terbuka kepada Bumiputera berumur antara 18 tahun hingga 50 tahun dengan memiliki sekurang-kurangnya sijil kemahiran asas dari IKM, Giat Mara atau lain-lain institusi teknikal yang berkaitan. Bagi bidang elektrikal, pemohon perlu mempunyai sijil yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga. Pemohon perlu mempunyai pengalaman kerja dalam bidang berkaitan sekurang-kurangnya setahun bagi yang mempunyai sijil kemahiran asas atau sekurang-kurangnya 2 tahun bagi yang tidak mempunyai sijil kemahiran tetapi mempunyai pengalaman kerja.

Timba dulu pengalaman baru fikir pasal gaji

Remaja menganggur terutama mereka yang baru menamatkan pengajian di pusat pengajian tinggi, bukan cerita baru. Cuma mungkin jumlahnya semakin ramai berikutan pertambahan penduduk dan jumlah remaja yang menamatkan pengajian hingga ke peringkat universiti meningkat saban tahun. Sesetengah graduan remaja akan marah bila kegagalan mereka mendapat kerja dikatakan kerana terlalu memilih.
“Siapa cakap aku memilih,” rungut seorang remaja yang berkelulusan dalam bidang teknologi maklumat. “Semua tempat aku pergi interview semua nakkan pengalaman. Nak kata tak ada, ada pasal aku dulu buat praktikal. Takkan itu pun tak cukup lagi. Dia orang nak pengalaman macam mana?” tambahnya lagi. Seorang remaja berkelulusan bidang perakaunan pula berkata: “Samalah macam aku, berapa banyak bank dah aku pergi interview semuanya gagal pasal mereka mahu pengalaman, entahla aku pun tak tahu.” Jika diamati kata-kata mereka ini, memang sekali fikir kita pun akan bertanya kenapa susah sangat mereka hendak mendapatkan pekerjaan kerana mempunyai kelulusan dan sekurang-kurangnya ada juga dua tiga bulan pengalaman sewaktu menjalani praktikal. Tapi bagi majikan, mereka sudah tentu mahukan pengalaman lain yang boleh membantu pekerjanya memberikan lebih lagi, bukan sekadar kemahiran yang mereka peroleh di universiti.

“Ya lah kau orang nak harapkan terus kerja kat tempat besar, perlahan-lahanlah. Cuba kerja kat tempat biasa dulu, mana tahu lepas tu ada rezeki,” kata pula seorang remaja yang kini mendapat pekerjaan setanding kelulusannya dan mendapat sedikit kelebihan dari segi pendapatan kerana pernah bekerja 2 tahun di sebuah kedai 24 jam. Pengalaman itulah yang dijaja remaja berkenaan setiap kali menghadiri temu duga sehingga meyakinkan majikannya bahawa beliau boleh melakukan pekerjaannya dengan baik. Walaupun bekerja di tempat sebegitu mungkin dianggap sesetengah remaja sebagai tidak berbaloi tetapi bagi remaja berkenaan ia memberikannya pengalaman cukup berharga yang bukan sekadar menangani perangai pelanggan tetapi juga pengurusan. 
Inilah yang dilihat sebagai kelebihan remaja tadi oleh majikannya. “Tak kuasa aku nak kerja kat tempat macam tu, dah lah kerja tak tentu masa, gaji pulak tak seberapa,” jawab seorang remaja yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan awam. “Entahnya, macam aku ada kawan-kawan ajak kerja kar firma audit, tapi bila aku tanya gaji, dia cakap lebih kurang RM1,000. Buang masa aku aja, dahla kerja teruk gaji pulak tak seberapa,” sampuk pula remaja yang berkelulusan dalam bidang perakaunan. Sebagaimana kata pepatah, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, falsafah inilah yang sebenarnya kadang-kadang sukar dimengerti dan diambil iktibar oleh sebahagian remaja.
Sememangnya, untuk berjaya bukan kerja mudah, ramai yang kadang-kadang tersungkur dulu sebelum dapat bangkit & terus melangkah jauh. Tidak kurang juga yang tersembam selepas tersungkur, namun jika sudah rezeki, mereka ini akan dapat bangkit. Apa pun bagi remaja, zaman inilah masanya untuk mereka mencari pengalaman. Wang tidak seharusnya menjadi pertimbangan yang cukup meruncing, apa yang penting adalah cukup untuk makan. Nak bermewah-mewah, tunggulah dulu kerana ada masanya kemudian. Walaupun bergaji RM10 sahaja sebulan, tetapi pengalaman untuk gaji sebanyak itu memang tidak ternilai harganya.

Pisang sihatkan mata

Pisang berangan, rastali atau emas memang sedap dimakan begitu sahaja. Sementara pisang nangka, embun & kapas sedap digoreng atau dibuat kerepek. Namun pisang bukan sekadar sedap dimakan tetapi kandungan khasiatnya cukup istimewa. Apa yang menariknya, manfaat pisang bukan sahaja tersimpan dalam isinya yang pejal tetapi juga kulit! Berdasarkan penyelidik Universiti Taichung Chung San, Taiwan, selain kaya akan vitamin B6, ekstrak kulit pisang kaya dengan serotonin yang sangat penting untuk menyeimbangkan mood & menjaga kesihatan retina.

Krisis identiti landa pemikiran, jiwa belia

Golongan belia sekarang menghadapi krisis identiti apabila pengaruh fesyen dan hiburan kini mula melanda mempengaruhi mereka di seluruh tanah air. Pelbagai identiti baharu mulai menjajah pemikiran golongan anak muda kita dewasa ini termasuk pemakaian anting-anting di kalangan lelaki. Krisis identiti ini mungkin antara penyebab berlakunya gejala sosial di kalangan anak muda sama ada di bandar mahupun luar bandar.

Ia mula membawa masalah kepada masyarakat & dikhuatiri jika tiada usaha mengurangkan gejala itu dikhuatiri akan menjadi penyakit berjangkit yang sukar diatasi. Pemikiran belia yang rapuh menjadikan mereka mudah dipengaruhi budaya songsang ini. Pengaruh Barat dianggap moden menyebabkan mereka lebih cenderung mencuba. Mereka tidak mahu berfikir bahawa apa yang cuba dipraktikkan itu sebenarnya rancangan untuk memusnahkan kehidupan tradisi mereka yang mempunyai nilai hidup yang baik & berbudaya tinggi. Kegilaan remaja yang taksub kepada hiburan adalah kaedah terbaik untuk Barat memainkan agenda mereka untuk melemahkan iman anak muda kita menerusi pengenalan pelbagai ikon & corak hiburan. penggita hiburan kita, sama ada golongan muda atau dewasa begitu cepat terpengaruh dengan arus pemodenan yang kononnya paling terkini yang dibawa media Barat tanpa memikirkan implikasi terhadap bangsa & budaya sendiri.

Lihat saja penggiat seni lelaki negara kita kebelakangan ini, ketulenan kelakian mereka boleh dipertikaikan apabila mula bersubang. Subang atau anting-anting dalam budaya hidup masyarakat kita adalah aksesori dipakai kaum wanita. Apakah nilai moral ini juga mahu disamakan dengan ‘mak nyah’? Yang lebih pelik kita tidak faham apakah rasional memakai subang. Persoalan yang sering saya tertanya-tanya adakah sah mereka mengambil air sembahyang dalam keadaan itu? Jadi mahukah masyarakat melihat lebih ramai anak muda & remaja memakai anting-anting di telinga sebagai budaya baharu dalam masyarakat kita pada masa depan?