Microsoft Tech.Ed di Kuala Lumpur

Persidangan tahunan terbesar anjuran Microsoft, Tech.Ed Southeast Asia 2007 kembali ke Kuala Lumpur, September ini untuk menjadi platform pembelajaran dan latihan kepada lebih 2000 peserta terdiri dari usahawan tekno, pentadbir IT, pembangun perisian dan arkitek perisian dari seluruh rantau ini. Edisi kali ini dengan tema “Turn doing your job into making your mark” mensasarkan untuk menajamkan tumpuan kepada teras dan kemahiran pemprograman IT kritikal yang membolehkan pembangun mendapat latihan teknikal, maklumat serta sumber-sumber yang dapat membantu mereka dalam usaha membina, mengguna, mendapatkan, bersedia dan merumuskan pengurusan.

Tech.Ed terus diiktiraf oleh rakan perniagaan sebagai persidangan utama dalam industri yang bukan sekadar memperkenalkan perisian serta teknologi Microsoft, malah bakal mencipta gelombang baru dalam agenda teknologi. Tech.Ed kembali ke Malaysia disebabkan pertumbuhan ekonomi berasaskan perisian yang amat memberangsangkan di sini. Rangkaian rakan niaga Microsoft Malaysia adalah yang terbesar dalam industri, dengan lebih 5000 rakan niaga dan 800 vendor pembangun perisian bebas (ISV) yang sudah pun menghasilkan produk bagi memenuhi keperluan IT serta perniagaan kepada beribu-ribu organisasi di Malaysia dan di rantau ini. Tech.Ed SEA 2007 kali ini lebih banyak menumpukan kepada teknologi dan penggunaan Windows Server 2008 yang sebelum ini dikenali dengan nama kod “Longhorn”.

Peserta tahun ini lebih beruntung kerana berpeluang mendengar sendiri pengalaman penceramah yang didatangkan terus dari Microsoft Corp iaitu individu serta pakar teknologi yang berkait rapat dengan pembangunan teknologi terkini. Tech.Ed SEA 2007 akan berlangsung pada 10 hingga 13 September 2007 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh diperoleh di http://www.microsoft.com/malaysia/techedsea2007.