Sistem Operasi Windows 98, ME Dihentikan

Microsoft Corp. (Microsoft) telah mengumumkan bahawa ia telah menghentikan khidmat sokongan terhadap sistem operasinya (OS) Windows 98 & Windows Millennium Edition (ME) berkuat kuasa tahun lepas yang mana lebih 50 juta masih menggunakannya. Penganalisis menganggarkan masih terdapat antara 50 juta & 70 juta komputer beroperasi pada Windows 95, 98 atau ME. Syarikat perisian utama dunia itu tidak akan menyediakan peningkatan tahap sekuriti, nasihat melalui telefon atau sokongan teknikal lain untuk Windows 98, Windows 98 Second Edition (SE) & Windows ME. Menurut kenyataan syarikat yang berpangkalan di Redmond, Washington itu, ia adalah pengumuman & peringatan kepada pengguna yang menangguh atau melambatkan pemindahan daripada Windows 98 atau Windows ME ke Windows XP. Namun begitu, sokongan maklumat untuk OS lama itu terutama Windows 98 yang diperkenalkan 9 tahun lalu masih kekal diletakkan pada laman web Microsoft. Microsoft pada awalnya merancang untuk menarik OS berkenaan pada Januari 2004 tetapi menundanya disebabkan meningkatnya persaingan daripada OS Linux ketika itu. Pengguna yang paling teruk menerima kesan akibat pemberhentian sokongan itu ialah pengguna di rumah & sekolah kerana mereka tidak akan mendapat khidmat sekuriti lagi.

Advertisements

Alamat IP (IP Address)


Dalam jaringan komputer, alamat IP (internet protocol address) adalah suatu nombor unik yg digunakan oleh peralatan sebagai pengenalan dan untuk berkomunikasi antara satu sama lain di dalam satu jaringan yang menggunakan standard Protokol Internet (IP). Selalunya hanya kependekan “IP” digunakan, seperti “IP saya adalah xxx.xxx.xxx.xxx”. Kesemua peranti berkaitan — termasuk penghala (router), komputer, time-servers, pencetak, mesin faks internet, dan sesetengah telefon — perlu mempunya IP global unik yang berkebolehan untuk berkomunikasi.

IP adalah satu protokol lapisan rangkaian di dalam suit protokol internet dan adalah protokol lapisan atasan yang menyediakan alamat global yg unik (cth: alamat MAC untuk Ethernet) tetapi kedua-dua alamat ini tidak semestinya dapat berkomunikasi antara satu sama lain. IP menambah satu servis di atas protokol lapisan pautan data melalui penggunaan alamat IP yang menyediakan engenalan secara unik dan berkomunikasi dengan peranti lain di dalam rangkaian.
Dengan kata lain, alamat IP adalah seperti alamat penuh untuk mel pos semetara alamat MAC sekadar nombor rumah. Contohnya terdapat banyak alamat dengan nombor rumah 123 tetapi hanya ada satu alamat untuk 123, Jln Utama, Cyberjaya, Malaysia. Hanya sekadar pos kepada “123” tidak akan sampai ke mana-mana tetapi “123, Jln Utama, Cyberjaya, Malaysia” adalah alamat global yang unik.

Sifat unik alamat IP membolehkan banyak situasi untuk menjejaki komputer dan berkemungkinan pengguna menghantar mesej atau berkecimpung dalam suatu aktiviti di Internet. Informasi ini digunakan oleh pihak berkuasa untuk mengenali penjenayah yang disyaki; walaubagaimanapun penggunaan alamat IP dinamik menyukarkan proses ini. Pengguna Internet di Malaysia biasanya menggunakan IP dinamik, kerana IP statik berkos tinggi. Oleh kerana alamat IP tidak mudah diingati, Sistem Nama Domain (DNSDomain Name System) menyediakan keupayaan untuk mengaliaskan nama domain (cth: ms.wikipedia.org kepada alamat IP 207.142.131.248).

Piawaian IPv4 boleh dikelaskan kepada lima iaitu : A, B, C, D dan E. Hanya kelas A, B dan C sahaja yang biasanya digunakan. Walaubagaimanapun telah muncul kaedah untuk menulis IP dengan tidak terikat dengan kelas dipanggil CIDR (Class-less Inter Domain Routing). Di samping itu piawaian IPv6 juga sedang giat dijalankan dengan negara Asia seperti Jepun, China dan Korea Selatan menjadi pendahulu di rantau Asia.

Sains Komputer

Sains komputer (computer science) secara umumnya adalah pengkajian perhitungan (computation) dan pemprosesan maklumat, sama ada dari segi perkakasan (hardware) mahupun perisian (software). Seorang yang pakar dalam bidang perkomputeran dipanggil saintis komputer. Hal ini adalah kerana sains komputer merupakan salah satu cabang daripada aliran sains.

Skop sains komputer masih tidak dapat dipisahkan dengan jelas memandangkan bidang ini meliputi aspek yang amat luas dalam kehidupan manusia dan skopnya akan terus berkembang selari dengan perkembangan kemajuan teknologi. Sebagai contoh, pada suatu masa dahulu telefon bimbit lebih dikaitkan dengan bidang kejuruteraan (engineering) , akan tetapi apabila teknologi telefon bimbit semakin berkembang, terdapat banyak teknologi daripada aliran sains komputer diserapkan ke dalam alatan ini. Kemajuan robotik semakin banyak menyerapkan elemen-elemen sains komputer seperti kepintaran buatan (AIAtificial Intelligence) untuk menjadikan sesebuah robot lebih bijak.

Bidang ini mendapat tawaran meluas di dalam universiti dalam dan luar negara memandangkan ia merupakan bidang yang menarik perhatian serta mendapat tempat yang meluas dalam industri. Antara perkara penting dalam sains komputer adalah bahasa pengaturcaraan (programming language). Bahasa pengaturcaraan adalah bahasa yang boleh digunakan untuk menulis perisian komputer (computer software). Antara bahasa pengaturcaraan yang popular ialah C dan Java.

Kerjaya Dalam Bidang Teknologi Maklumat (IT)

IT merupakan bidang yang luas dan meliputi semua bentuk teknologi yang digunakan untuk mencipta, memproses, menyimpan, dan menggunakan maklumat dalam pelbagai bentuk (seperti data perniagaan, mesej suara, imej pegun, filem, persembahan multimedia). Tambahan pula, IT juga satu bidang yang berkembang pesat. Ia mengubah dunia secara radikal dengan memperkenalkan pelbagai cara baru menjalankan perniagaan, membuat kerja, mengurus hiburan dan mencipta seni. Pendek kata, ia meliputi perkara berkaitan dengan sains komputer dan teknologi yang berkait rapat dengan perkakasan dan perisian komputer, reka bentuk, pemasangan serta pelaksanaan sistem maklumat dan penggunaan aplikasi.
Mata pelajaran yang termasuk dalam bidang ini ialah penciptaan perisian, pengaturcaraan (programming), sistem maklumat perniagaan dan pengurusan, sistem pengurusan pangkalan data (database), reka bentuk grafik, animasi, multimedia, reka bentuk laman web, sistem rangkaian (network), kejuruteraan perkakasan, sistem komunikasi data dan sistem komputer digital. Mereka yang telah lulus SPM / STPM boleh mengikuti kursus ijazah sarjana muda dalam bidang Teknologi Maklumat di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan. Ijazah yang dianugerahkan oleh sesebuah universiti asing yang tertentu juga diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

Bakal pelajar perlu menyemak senarai institusi pengajian tinggi luar negara yang diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum mengikuti kursus di seberang laut. Peluang pekerjaan dalam bidang ini banyak & boleh dikatakan cerah kerana penggunaan komputer secara berleluasa. Siswazah boleh mencari kerja di agensi kerajaan; firma pembuatan dan perkhidmatan; organisasi perdagangan; syarikat pembuatan komputer; bank tempatan dan luar negeri; organisasi penyelidikan; penguasa tempatan, institusi pengajian tinggi, organisasi antarabangsa atau bekerja sebagai perunding untuk memberi penyelesaian IT kepada pelbagai agensi termasuk kerajaan.
Mereka yang menceburkan diri dalam bidang IT diberi pelbagai gelaran bergantung kepada bidang kepakaran serta pengkhususan mereka: pengaturcara penggunaan; penganalisis sistem (system analyst); pentadbir pangkalan data; pentadbir sistem (system administrator); perundig perisian; pentadbir rangkaian (network administrator); pereka bentuk laman web (web desginer); pakar multimedia & animasi; pengurus sistem maklumat; pentadbir laman web (webmaster); pengurus projek IT; jurutera perkakasan; juruaudit sistem komputer; jurutera perisian (software engineer); pereka bentuk pangkalan data; dan penganalisis komunikasi data.
Mereka yang berkelayakan IT berupaya mendapat gaji yang lebih lumayan sekiranya memiliki satu kelayakan profesional – Microsoft Certified Professional (MCP). Di Malaysia, seorang profesional IT yang baru boleh mendapat gaji permulaan di antara RM 2,000 dan RM 2,500 sebulan . Mereka yang mempunyai pengalaman kerja lebih kurang 6 tahun serta pengetahuan dan kemahiran dalam pentadbiran rangkaian (network administration), reka bentuk laman web, reka bentuk grafik & animasi (graphic designer & animation), pengiklanan multimedia dan penyelesaian perniagaan (business solutions) boleh mendapat gaji kira-kira RM 6,000-RM 8,000 sebulan.