Atasi enjin motosikal bergegar

English: The author's own Yamaha Lagenda 110 m...
English: The author’s own Yamaha Lagenda 110 motorcycle with its trunk being installed. Bahasa Melayu: Motosikal Yamaha Lagenda 110 penulis dengan kotak barangan yang terpasang. (Photo credit: Wikipedia)

Masalah motosikal bergegar ketika memecut 80 hingga 100 km/j & kurangnya daya pecutan memang menghantui pemilik motosikal. Masalah ini bukan saja menyebabkan pemanduan kurang selesa malah dikhuatiri kenderaan itu akan mati di tengah jalan. Apa pun, masalah gegaran perlu dikaji dari pelbagai aspek, sama ada gegaran itu datangnya dari enjin atau dari roda motosikal. Gegaran enjin lazimnya lebih ketara apabila kelajuan melebihi sesuatu tahap rpm itu iaitu ia menjadi lebih teruk apabila melepasi tahap itu. 

Gegaran pada roda kadangkala tidak menimbulkan masalah serius. Ada ketikanya sewaktu memandu lebih laju gegaran pada kelajuan 80km/j akan hilang apabila anda melepasi 85 km/j. Gegaran roda ini boleh diatasi dengan melakukan pengimbangan tayar (balancing) bagi memastikan masalah sebenar, sama ada ia dari tayar atau kerana rim tayar bengkok. Gegaran enjin pula membayangkan tahap kehausan komponen enjin melebihi tahap kelegaan dibenarkan dan mungkin enjin memerlukan baik pulih (overhaul).

Ini adalah kerana enjin haus dan bergetar apabila ia beroperasi dan menyebabkan gegaran. Punca gegaran enjin ini boleh datang dari berbagai-bagai bahagian enjin, sama ada dari piston, gegalas utama atau main-bearing dan mungkin dari bahagian klac atau flywheel. Bagi masalah kurang daya pecutan, ada beberapa punca yang perlu dikenal pasti terlebih dulu. Clutch slip biasanya terjadi disebabkan 2 perkara, iaitu menggunakan minyak pelincir yang terlalu tinggi tahap pelinciran dan tidak sesuai untuk jentera atau kerana kehausan komponen klac seperti piring klac dan spring. 

Prestasi yang baik hanya didapati apabila menggunakan alat ganti tulen atau alat ganti perlumbaan yang sememangnya jauh lebih mahal. Gear yang sukar dimasukkan sepatutnya tidak dialami bagi enjin yang baru dibaik pulih kerana mekanik yang baik dapat mengesan kerosakan pada tuil gear di dalam enjin, jika itu masalahnya. Namun sistem klac yang tidak beroperasi dengan baik juga menyebabkan gear susah dihubungkan atau susah masuk kerana klac tidak dapat membebaskan piring klac sepenuhnya menyebabkan ia masih terhubung dengan batang engkol. Mungkin masalah gear ada kaitannya dengan masalah klac. Enjin yang hilang kuasa apabila pendikit terlebih pulas menggambarkan pelarasan karburetor yang tidak tepat dan terlalu mewah sehingga membasahkan plug. Tetapi ini boleh berlaku pada enjin yang mengalami kebocoran mampatan apabila campuran bahan api tidak sempat dibakar sepenuhnya untuk enjin bertindak balas pada penambahan bahan api. Ini sepatutnya tidak terjadi pada enjin yang baru dibaik pulih.

Apapun, pengguna perlu menjaga motosikal dengan baik sepanjang masa. Ikuti manual penjagaan yang diberikan pengeluar motosikal. Jadual penukaran minyak pelincir dan servis perlu diikuti secara tepat untuk memastikan tahap perlindungan enjin secara maksimum. Gunakan minyak pelincir yang terbukti keberkesanannya. Pastikan juga motosikal sentiasa dibersihkan dan seperti yang pernah diperkatakan, basuh sendiri motosikal dan teliti setiap bahagian sambil memeriksa setiap komponen untuk mengenal pasti kerosakan kecil yang mungkin dialami. Tukar bahagian yang rosak sebelum ia merebak dan menyebabkan kerosakan lebih teruk serta menjejaskan prestasi motosikal. Berikan lebih tumpuan pada bahagian motosikal yang membabitkan keselamatan penunggang seperti brek, tayar dan pengendalian. 

Dapatkan nasihat rakan berpengalaman dan pelajari cara mengenal pasti tahap kehausan. Sebagai contoh, tayar mempunyai penanda tahap kehausan untuk memberi panduan bilakah tayar perlu ditukar. Bateri pula perlu diperiksa tahap elektrolit dan selalunya tahan sehingga 2 tahun. Penelitian adalah penting untuk memastikan motosikal sentiasa berada dalam keadaan baik. Hantar motosikal untuk diperiksa mekanik bertauliah seandainya dirasakan perbezaan sewaktu mengendalikan motosikal anda. Ini menjamin tahap keselamatan jentera dan menjanjikan kepuasan jangka panjang.

Enhanced by Zemanta

Kalau dahi tidak mencecah sejadah

“Sudah Bersediakah Aku Ketika Dipanggil
Pulang Oleh Allah SWT?!!!

Allahu Akbar! La haula wala quwata
illah billah hil aliyil aziim…

Bersihkanlah dirimu sebelum kamu
dimandikan!
Berwudhu’lah kamu sebelum kamu
diwudhu’kan!
Bersolatlah kamu sebelum kamu
disolatkan!
Tutuplah rambutmu sebelum rambutmu
ditutupkan!
Dengan kain kafan yang serba putih!
Pada waktu itu tidak guna lagi
bersedih….
Walaupun orang yang hadir itu
merintih….

Selepas itu kamu akan diletak di atas
lantai….
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Selawat dan doa….
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu
Kifayah

Tapi apakah empat kali takbir itu
dapat menebus….
Segala dosa meninggalkan solat
sepanjang hidup?
Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk
dan sujud….
Dapat membayar hutang rukuk dan
sujudmu yang telah luput?

Sungguh tertipulah dirimu jika
beranggapan demikian….
Justeru ku menyeru sekelian Muslimin
dan Muslimat….
Usunglah dirimu ke tikar Solat….
Sebelum kamu diusung ke liang lahad….
Menjadi makanan cacing dan mamahan
ulat!

Iringilah dirimu ke masjid….
Sebelum kamu diiringi ke Pusara!
Tangisilah dosa-dosamu di dunia….
Kerana tangisan tidak berguna lagi di
alam baqa’!

Sucikanlah dirimu sebelum kamu
disucikan!
Sedarlah kamu sebelum kamu
disedarkan.. ..
Dengan panggilan ‘Izrail yang
menakutkan!
Berimanlah kamu sebelum kamu
ditalkinkan!
Kerana ianya berguna untuk yang
tinggal….
Bukan yang pergi!


Beristighfarlah kamu sebelum kamu
diistighfarkan!
Namun ketika itu istighfar tidak
menyelamatkan!

Ingatlah di mana saja kamu berada….
Kamu tetap memijak bumi Allah!
Dan dibumbungi dengan langit Allah!
Serta menikmati rezeki Allah!
Justeru bila Dia menyeru,….
Sambutlah seruan-Nya Sebelum Dia….
memanggilmu buat kali yang terakhirnya!
Ingatlah kamu dahulu hanya….
setitis air mani yang sangat hina!

Lalu menjadi segumpal darah!
Lalu menjadi seketul daging!
Lalu daging itu membaluti tulang!
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai
erti….

Ingatlah asal usulmu yang tidak
bernilai itu….
Yang kalau jatuh ke tanah ayam tak
patuk itik tak sudu!
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu
mercu….
Yang lebih agung dari malaikat!

Lahirmu bukan untuk dunia….
Tapi gunakanlah ia buat melayar
bahtera akhirat!

Sambutlah seruan ‘Hayya ‘alas
Solaah’….
Dengan penuh rela dan bersedia!
Sambutlah seruan ‘Hayya ‘alal
Falaah’….
Jalan kemenangan akhirat dan dunia!

Ingatlah yang kekal ialah amal….
Menjadi bekal sepanjang jalan!
Menjadi teman di perjalanan.. ..
Guna kembali ke pangkuan Allah!

Pada hari itu tiada berguna….
Harta, tahta dan putera/puteri. …
Suami/isteri, kad kredit dan kereta….
Kondominium, saham dan niaga….
Kalau dahi tak mencecah sejadah di
dunia!!!

“Saling berpesan-pesan untuk kearah
kebaikkan”

Parlimen Perancis pilih Ubuntu Linux

Parlimen Perancis telah memilih Ubuntu sebagai komputer desktop untuk ahli-ahli parlimen dan para pembantunya.

Parlimen Perancis membuat keputusan untuk menggantikan kesemua sistem operasi (OS) dari Windows kepada distribusi Linux untuk kesemua 1,154 buah komputer sebelum bermulanya sesi parlimen yang akan datang pada bulan Jun ini.

Sisitem operasi Linux Ubuntu ini akan dimuatkan dengan beberapa pakej sumber terbuka seperti suit produktiviti OpenOffice.org yang didatangkan dengan Ubuntu, termasuk pelayar web (web browser) Mozilla Firefox.

ubuntuLangkah ini dilihat sebagai satu galakan kepada pembangun aplikasi sumber terbuka (open source). France Telecom, firma perkhidmatan IT, Bull dan INRIA, sebuah institut penyelidikan sains komputer adalah antara badan pelaksana di bawah konsortium sumber terbuka ObjectWeb ini.

Ubuntu merupakan distribusi Linux yang amat popular di kalangan pengguna-pengguna utama komputer. Perisian ini berasaskan kepada Debian dan ditaja oleh Canonical.

Distribusi Ubuntu ini berbeza dengan SuSE kepunyaan Novell dimana Ubuntu menyediakan pemuat turunan kod-kod pelaksanaan secara percuma dan mengundang sesiapa saja untuk melibatkan diri di dalam pembangunan perisian ini yang tidak dilakukan oleh SuSE.

Red Hat pula menawarkan distribusi Linux desktop dan memerlukan langganan berbayar untuk sebarang muat turun terhadap fail-fail pelaksanaan perisian pelayan (server) mereka. Novell menawarkan SuSE sebagai muat turun percuma, tetapi mengenakan bayaran untuk pengemaskiniannya.

Jerat siber menunggu si mata duitan

Sekarang sudah heboh di sana-sini orang bercakap mengenai pelaburan Internet. Tambahan pula isu ini sedang rancak dibahas dalam ahkbar-akhbar arus perdana. Antaranya soal status halal dan haramnya dari segi agama dan undang-undang. Tetapi dalam Internet fenomena baru sekelompok warga negara ini bukan isu baru. Jika tidak percaya, buka pelayar web, taip kata kuncinya (keyword) dan klik butang carian (search). Banyak yang boleh kita temui sumber-sumber yang ada kaitan dengan pelaburan, jualan langsung, dan pemasaran berbilang tingkat (MLM – Multi Level Marketing) dalam ruang siber ini.

Sebut sahaja, tapak web, laman blog (biasanya milik peribadi), forum perbincangan, malah e-mel juga tidak terkecuali. Anda mudah menemuinya secara sengaja atau tidak. Hal ini bukan perkara luar biasa kerana Internet dan kemudahan sampingannya banyak membantu dalam kegiatan bertunjangkan duit seperti tadi. Begitulah ragam Internet yang bukan sahaja boleh mewujudkan jaringan sosial dalam sekelip mata, bahkan juga jaringan bisnes yang sukar diketahui hujung pangkalnya. Jangan salahkan Internet, kerana teknologi ini belum cukup cerdik untuk membezakan aktiviti penggunanya yang berniat baik atau bermotif serong. Jadi, tidak mustahil jika ada kelompok yang cuba mengambil kesempatan terhadap ‘ruang gelap atau samar’ yang seiring dengan kebaikannya. Ruang inilah yang gemar diterokai pihak-pihak tertentu untuk mencuba jerat mereka. Golongan ini bukan hanya sekadar menunjukan kemahiran, tetapi turut meragut duit orang lain.

Buktinya, kita sudah sudah diperingatkan dengan laporan sahih dalam media cetak. Antaranya, kerugian kerana menyertai pelaburan internet, ditipu gara-gara terpikat dengan peraduan SMS temberang, duit dalam bank susut dirompak penyangak siber menggunakan teknik memperdaya (phishing) dan macam-macam lagi. Tidak terkecuali juga ada yang kreatif dengan menggunakan imej atau video (mengaibkan seseorang) sebagai bahan ugutan bagi mendapatkan duit. Sekali lagi, teknologi canggih seperti kamera video digital, kamera digital, dan telefon bimbit berkamera disalahgunakan. Internet pula dijadikan medan aktiviti gelap mereka. Agak membimbangkan juga apabila muncul teknologi baru yang mula meraih perhatian. Antaranya, teknologi komunikasi bersepadu (unified communication) yang turut menggabungkan komunikasi VoIP (suara di atas protokol Internet). Buat masa ini, ia sedang giat dipromosikan untuk kegunaan perniagaan atau syarikat besar.

Malangnya sudah ada pemangsa yang menggunakan teknologi VoIP ini bagi memperdaya mangsanya agar menyerahkan data sulit. Modus operandinya mirip penipuan e-mel atau tapak web (phishing). Disebabkan kegiatan menyalah guna teknologi ini tidak menampakkan kesudahannya, anda dinasihati supaya sentiasa berwaspada selalu.

Apakah itu BIOS?

Anda tentu pernah terdengar atau ternampak perkataan ini: BIOS terutamanya ketika mula menghidupkan komputer peribadi (PC) anda. Ketika memulakan komputer, anda mungkin dapat melihat beberapa paparan seperti jumlah memori dalam komputer, aturan (settings) cakera keras (hard disk), CD-ROM dan sebagainya. Kesemua ini adalah antara hasil dari arahan yang dilaksanakan BIOS.

BIOS merupakan akronim (singkatan) kepada perkataan Basic Input Output System (Sistem Input Output Asas). Ia bertindak sebagai satu program yang akan menjalankan beberapa rutin seperti mengesan perkakasan (hardware) dan seterusnya memeriksa aturan perkakasan dalam komputer anda (seperti papan kekunci (keyboard) dan tetikus (mouse)) atau adakah perkakasan komputer anda berada dalam keadaan baik dan berfungsi sebelum memulakan sistem operasi (OS), contohnya Windows. Tugas memulakan sistem operasi Windows juga sebenarnya dilaksanakan oleh program BIOS ini.

Tidak seperti sistem operasi di mana ia disimpan di dalam cakera keras (hard disk), program BIOS disimpan dalam satu cip ingatan (memory chip) pada papan induk (motherboard) yang dikenali sebagai Flash Memory atau Flash BIOS (kerana ia meyimpan program BIOS). BIOS sebenarnya bertindak sebagai sebuah program khas yang membolehkan perkakasan komputer berinteraksi antara satu sama lain sebaik sahaja komputer dihidupkan.

Sistem komputer dikawal oleh Unit Pemprosesan Pusat (CPU Central Processing Unit). Tetapi sebaik sahaja komputer dihidupkan, CPU perlu menerima arahan (arahan dalam sistem komputer diberi dalam bentuk program) sebelum dapat melaksanakan tugasnya mengawal sistem dan berinteraksi dengan perkakasan. Maka program BIOSlah yang memberikan arahan pertama pada CPU. Dengan kata lain, BIOS memberitahu CPU apa yang perlu dilakukan seperti memeriksa kesemua perkakasan dalam sistem berfungsi dengan baik, memeriksa kehadiran papan kekunci, tetikus, port bersiri (serial port), port selari (parallel port), USB dan sebagainya. Program BIOS dilaksanakan (load) secara automatik dari cip Flash BIOS sebaik sahaja suis komputer dihidupkan.

Program BIOS ditulis menggunakan bahasa pengaturacaraan yang dikenali sebagai bahasa aras rendah (low level language). Bahasa aras rendah adalah berbeza dengan bahasa pengaturcaraan yang digunakan untuk membuat permainan permainan (games), aplikasi pejabat, virus dan sebagainya seperti C++, Visual Basic .NET dan lain-lain bahasa pengaturcaraan aras tinggi (high level language programming). Dalam bahasa aras rendah, pengaturara memberi arahan secara terus kepada sesuatu perkakasan, seolah-olah ‘bercakap’ kepada perkakasan untuk melakukan sesuatu tugas. Bahasa pengaturcaraan yang digunakan BIOS pada kebiasaanya adalah bahasa himpunan (assembly language).